KUALA LUMPUR 26 Mei - Revenue Group Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM9.36 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY23) daripada keuntungan bersih RM4.66 juta setahun sebelumnya.
Kerugian bersih suku ini adalah berikutan hasil yang lebih rendah daripada aktiviti perniagaan justeru menjadikannya rugi bagi suku ketiga berturut-turut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Revenue Group berkata hasil yang lebih rendah daripada segmen perniagaannya tidak dapat menampung kos operasi tetap, ditambah dengan perbelanjaan pentadbiran, kos kewangan dan kerugian lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.
Oleh itu, hasil suku dalam tinjauan juga telah menyusut 55.78% kepada RM10.1 juta daripada RM22.8 juta pada 3QFY22.
Bagi sembilan bulan pertama FY23, kumpulan itu telah melaporkan kerugian bersih berjumlah RM26.97 juta, berbanding keuntungan bersih RM12.67 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, manakala hasil sembilan bulan susut 48.2% kepada RM35.8 juta daripada RM69.1 juta sebelumnya.
Melangkah ke hadapan, Revenue Group berkata ia akan terus mencari peluang pasaran sama ada melalui kerjasama perniagaan, usaha sama atau pemerolehan bagi mengukuhkan kehadiran pasarannya, serta menambah baik penawaran produk dan perkhidmatannya untuk meningkatkan pendapatan kumpulan.
“Lembaga pengarah berhati-hati terhadap kesan berlarutan daripada pandemik COVID-19 dan potensi kemelesetan global, di samping kumpulan memulakan pelbagai inisiatif untuk membendung kedua-dua kos langsung dan tidak langsung, serta membuat kajian strategik terhadap model perniagaan dan struktur bagi membolehkannya kekal berdaya saing," katanya.
Pada hari 24 Mei (Rabu), kumpulan itu telah mengumumkan perletakan jawatan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Danny Leong Kah Chern selepas memegang jawatan itu selama kira-kira lima bulan namun akan terus berkhidmat sebagai penasihatnya. -DagangNews.com








