Reservoir Link raih 2 kontrak projek panel solar | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link raih 2 kontrak projek panel solar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun - Reservoir Link Energy Berhad berjaya meraih dua surat anugerah (LoA) bagi membangunkan dua projek panel solar.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu menerima surat berkenaan daripada Osram Opto Semiconductors (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk membangunkan panel solar di atas bumbung di Kulim.

 

Syarikat berkenaan berkata, anak syarikatnya RL Sunseap Energy Sdn Bhd dengan kerjasama antara Reservoir Link and Sunseap Energy (Malaysia) Sdn. Bhd. menerima surat lantikan untuk membina kemudahan penjanaan kuasa fotovoltaik bersepadu.

 

Perjanjian itu melibatkan tempoh pegangan selama 25 tahun.

 

RL Sunseap Energy juga menerima kontrak untuk melaksanakan operasi dan penyelenggaraan sistem fotovoltaik solar melalui tempoh kontrak.

 

Reservoir Link berkata, RL Sunseap Energy juga telah menandatangani perjanjian bekalan solar bumbung dengan PE Land (Pulau Pinang) Sdn. Bhd. pada 25 Mei 2022.

 

Melalui perjanjian itu, RL Sunseap Energy akan bertanggungjawab mereka bentuk, membina, memasang, memiliki, beroperasi dan menyelenggara sistem penjanaan tenaga solar PV dengan kapasiti DC 1971.2 kWp di atas bumbung Design Village Outlet Mall yang terletak di Pulau Pinang.

 

Reservoir Link berkata, sehingga kini pihaknya berjaya mendapatkan empat kontrak untuk membekalkan sistem solar PV berjumlah 10 Megawatts.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, penerimaan kontrak terbaharu itu adalah bukti kerjasama kukuh yang dibentuk bersama RL Sunseap Energy.

 

"Ini adalah permulaan perjalanan kerjasama kami bersama Sunseap dan kami percaya, kami berada di kedudukan terbaik untuk membekalkan lebih banyak penyelesaian tenaga bersih kepada pelanggan di Malaysia selaras dengan agenda nasional.

 

"Sehingga kini Reservoir Link berjaya mendapatkan empat perjanjian pembelian tenaga solar yang akan menyumbang kepada pendapatan berulang kumpulan melebihi RM80 juta sepanjang tempoh perkhidmatan," katanya.

 

Jurucakap daripada Sunseap berkata, Malaysia kekal menjadi pasaran penting buat syarikat itu dan firma itu teruja dengan sokongan penggunaan tenaga diperbaharui untuk rumah dan perniagaan di seluruh negara.

 

"Kami akan terus bekerjasama dengan Reservoir Link untuk mengangkat penggunaan tenaga solar di Malaysia," katanya. - DagangNews.com