reNIKOLA peroleh dua loji solar fotovoltaik di Kelantan, Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

reNIKOLA peroleh dua loji solar fotovoltaik di Kelantan, Kedah

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Syarikat tenaga boleh diperbaharui, reNIKOLA Holdings Sdn Bhd memuktamadkan langganan saham keutamaan boleh tebus baharu (RPS) dalam dua projek penjanaan tenaga solar fotovoltaik masing-masing di Machang, Kelantan dan Kuala Muda, Kedah.

 

Pengarah Urusan reNIKOLA, Boumhidi Adel berkata, pihaknya juga telah menyelesaikan pengambilalihan tiga syarikat yang memegang petak tanah yang mempunyai loji tenaga solar.

 

Dengan pencapaian terkini itu katanya, kumpulan secara rasmi mengendalikan lima loji solar fotovoltaik (PV) di Semenanjung Malaysia dengan agregat 178 MWdc dalam kapasiti penjanaan. 

 

"Selain solar, kami juga mempunyai kepentingan dalam biogas dan loji kuasa hidro mini juga," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, selaras dengan penyempurnaan langganan RPS di loji solar Machang dan Kuala Muda oleh reNIKOLA, perjanjian penyelesaian yang dimeterai dengan Kazuomi Kaneto dan DPI Solar 1 Pte Ltd pada Ogos 2022 berhubung dengan writ saman dan penyata tuntutan kini telah selesai.

 

“Sementara kami maju ke hadapan, kami kekal fokus sebagai kumpulan tenaga boleh diperbaharui permainan tulen, dan kami akan terus mengembangkan portfolio kami. 

 

"Sehubungan itu, kami tidak sabar-sabar menunggu tetingkap permohonan untuk Program Kuasa Hijau Korporat atau CGPP dibuka bulan depan," kata Adel.

 

 

renikola

 

 

Katanya, inisiatif baharu di Malaysia, CGPP memberi syarikat pilihan lain untuk mendapatkan tenaga elektrik hijau melalui perjanjian pembelian kuasa maya dan pihaknya pastinya mahu memainkan peranan penting di dalamnya.

 

Loji solar Machang, Kelantan mempunyai kapasiti penjanaan kira-kira 45 MWdc. Berada di atas petak tanah seluas 110.3 hektar, ia merupakan aset operasi, setelah mencapai tarikh operasi komersil pada April 2023. 

 

Sementara itu, loji solar Kuala Muda, Kedah juga merupakan aset operasi, yang telah dimulakan pada Mac 2022 dengan kapasiti yang sama iaitu kira-kira 45 MWdc dan terletak di atas tanah seluas 86.5 hektar. - DagangNews.com