Reliacraft Consultancy, Horizon Institution jalin kerjasama dalam penyediaan latihan OSH | DagangNews Skip to main content

Reliacraft Consultancy, Horizon Institution jalin kerjasama dalam penyediaan latihan OSH

Latihan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan menjadi kemestian bagi sektor pekerjaan berisiko seperti pembinaan.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Satu kerjasama dimeterai antara dua entiti latihan dan perunding keselamatan tempatan bagi menyediakan perkhidmatan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).

 

Ia membabitkan Reliacraft Consultancy Sdn Bhd bersama rakan strategik Horizon Institution Sdn Bhd.

 

Menerusi kerjasama ini, kedua-dua pihak akan berkerjasama dalam menyediakan latihan berkenaan selain memperluaskan jaringan strategik masing-masing.

 

Reliacraft Consultancy yang berpengkalan di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor merupakan anak syarikat Reliacraft Group, sebuah kumpulan milik bumiputera yang menjurus pada bidang perkhidmatan berkaitan gas dan petroleum.

 

Horizon Institution yang terletak di Meru, Klang pula ialah sebuah syarikat latihan dan perundingan dalam bidang OSH.

 

Kedua-dua pihak kini dalam proses permohonan pengiktirafan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk menyediakan latihan di bawah agensi berkenaan.

 

Pengurus Projek Reliacraft Consultancy, Noorhayati Romli berkata, menerusi kerjasama itu nanti dapat memperluaskan lagi penawaran latihan yang pelbagai kepada klien.

 

 

rc
Reliacraft Consultancy antara syarikat tempatan yang menawarkan latihan kemahiran profesional berkaitan aplikasi ujian tanpa musnah (NDT).

 

 

Katanya, antara latihan ditawarkan seperti pegawai keselamatan industri, perawat kecemasan terlatih, pengendalian bahan kimia dan mudah bakar serta latihan pendengaran dan hidu bagi keselamatan industri.

 

"Turut ditawarkan adalah latihan untuk  'lifting supervisor', 'rigging' dan keselamatan terhadap radiasi (RPO awareness).

 

"Kesemua bidang latihan yang ditawarkan ini adalah mengikut piawaian industri.

 

 

rc
Muhammad Fadzil Abdul Bahar (kanan) bersama Reza Razak semasa memeterai MoU bagi kerjasama latihan antara Reliacraft Consultancy dan Horizon Institution.

 

 

"Memandangkan permintaan yang positif dalam industri minyak dan gas serta pembinaan maka kerjasama ini akan memberi sinergi pada Reliacraft Consultancy dan Horizon Institution," ujarnya.

 

Terdahulu, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tersebut dimeterai antara Pengarah Reliacraft Consultancy, Muhammad Fadzil Abdul Bahar dan Ketua Latihan Horizon Institution, Reza Razak. - DagangNews.com