KUALA LUMPUR 27 Nov - REDtone Digital Berhad (REDtone) dan SpaceX menandatangani perjanjian penjual semula yang sah untuk menawarkan perkhidmatan internet berkelajuan tinggi berasaskan satelit Starlink di seluruh Malaysia.
Dengan pasukan REDtone yang terdiri daripada lebih 150 jurutera berdedikasi di seluruh negara, syarikat itu boleh menyediakan perkhidmatan jalur lebar Starlink dengan cepat kepada pengguna di lokasi terpencil, serta kawasan yang mempunyai kekangan geografi dan alam sekitar.
Ketua Pegawai Eksekutif REDtone, Lau Bik Soon berkata kekuatan syarikat sebagai penyepadu rangkaian akan membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan berasaskan satelit yang lancar kepada sektor kerajaan dan perusahaan.
“Kami menyasarkan sektor yang menunjukkan peningkatan kebergantungan kepada perkhidmatan satelit seperti sektor minyak dan gas, telekomunikasi, perkapalan dan maritim, perkhidmatan kewangan dan perladangan.

“Ini dijangka menjadi pemacu penting pertumbuhan pasaran satelit di negara ini dan akan meningkatkan keuntungan syarikat,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, pasaran satelit di Malaysia dianggarkan bernilai AS$4.2 bilion (RM19.7 bilion) menjelang 2025, berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 10.9%.
Tambahnya, syarikat itu mengorak satu lagi langkah ke hadapan untuk membantu merealisasikan visi kerajaan dalam mencapai 100% capaian internet di kawasan berpenduduk.
Jelasnya, kira-kira 3% daripada penduduk Malaysia menetap di kawasan yang mempunyai sedikit atau tiada sambungan internet.
“Di sinilah kami berperanan untuk mengisi jurang jalur lebar melalui satelit, bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi, menyediakan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta meningkatkan keselamatan awam,” katanya.
REDtone merupakan antara pembekal utama penyediaan perkhidmatan sejagat, yang membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menggunakan perkhidmatan satelit Starlink, menghubungkan pelbagai komuniti luar bandar di seluruh negara.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 5,000 satelit Starlink di orbit dan Starlink telah melancarkan satelit Gen 2 yang menjanjikan kelajuan dipertingkatkan dan ini membolehkan penyediaan sokongan digital ke setiap sudut, memastikan keterhubungan dan merapatkan jurang digital di Malaysia.
Sehingga September 2023, Starlink menghubungkan lebih 2 juta pelanggan aktif di lebih 60 negara. - DagangNews.com








