redONE taja Kejohanan Skuasy Satelit PSA dan WSF untuk bantu tingkatkan kedudukan pemain tempatan | DagangNews Skip to main content

redONE taja Kejohanan Skuasy Satelit PSA dan WSF untuk bantu tingkatkan kedudukan pemain tempatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jun - redONE Network Sdn. Bhd. menaja Kejohanan Skuasy Satelit PSA dan WSF bagi membantu meningkatkan kedudukan pemain tempatan di peringkat antarabangsa. 

 

Kejohanan tempatan 12 sirkit itu akan menyaksikan syarikat telekomunikasi menyediakan sejumlah wang tajaan bagi menjayakan kejohanan itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus, menyatakan komitmen syarikat untuk memupuk bakat pemain bertaraf dunia menerusi peruntukan dana bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehan atlet yang berbakat.  

 

Katanya, buat masa sekarang, redONE menaja pemain kebangsaan S Sivasangari, yang berada pada kedudukan membanggakan di peringkat antarabangsa.

 

"Ramai pemain muda yang masih baru dalam sirkit profesional ini berasa agak sukar menjelajah ke negara seperti Mesir, United Kingdom atau Australia untuk bertanding bagi memperoleh mata kedudukan. 

 

redone
Farid Yunus

 

"Justeru, kejohanan yang berlangsung di negara kita sendiri ternyata sesuatu yang sangat baik. Ia menyediakan peluang yang luar biasa untuk pemain kita menunjukkan peningkatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sirkit tempatan yang terdiri daripada 12 siri berkenaan, diuruskan oleh ACE Sports and Management, bermula pada Februari lalu. 

 

Kejohanan berkenaan sudah diadakan di beberapa lokasi termasuk Negeri Sembilan, Bukit Jalil, dan Pulau Pinang. 

 

Kejohanan terkini diadakan di Sungai Ujong, Negeri Sembilan pada 8 hingga 11 Jun lalu, yang mana Goh Zhi Xuan muncul sebagai pemenang dalam kategori wanita, manakala Harith Danial meraih kemenangan dalam kategori lelaki.

 

Kejohanan Satelit keenam PSA WSF dijadualkan berlangsung pada 13 Julai ini di Kompleks Sukan Astaka yang telah diperbaharui kemudahannya di Petaling Jaya. 

 

Penyertaan dalam pelbagai jelajah penting bagi pemain skuasy profesional kerana ia membolehkan mereka mengumpul mata kedudukan antarabangsa, mendapat pendedahan, dan meraih wang kemenangan. 

 

Platform ini juga menjadi laluan untuk menarik penajaan dan mewakili negara masing-masing dalam kejohanan antarabangsa yang disegani, sekali gus menyumbang kepada perkembangan dan kejayaan kerjaya mereka dalam sukan ini.

 

"Kami komited untuk memupuk bakat peringkat akar umbi sekali gus membolehkan mereka bersaing dan meraih pendedahan sewajarnya. Tanpa usaha sedemikian, bakat mereka mungkin sukar untuk berkembang,” katanya yang juga Presiden Persatuan Skuasy Selangor (SRAS). - DagangNews.com