KUALA LUMPUR 14 Mac - Skor kredit dalam apa jua keadaan adalah sebahagian daripada laporan MyCTOS, kata CTOS Digital Berhad dalam rayuan yang difailkan 8 Mac lalu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak tuntutan seorang ahli perniagaan.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, CTOS berkata, tiada bukti di hadapan Mahkamah Tinggi bahawa laporan tersebut telah diterbitkan kepada pihak ketiga sehingga boleh dikatakan bahawa terdapat penerbitan untuk tujuan tuntutan fitnah.
Menurut CTOS, perkara tersebut diambil kira unitnya CTOS Data System dalam rayuan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi dan seterusnya memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Tinggi.
Katanya, CDS telah dinasihatkan mempunyai peluang yang baik untuk berjaya dalam rayuannya dengan mengambil kira alasan luas berikut, antara lain tiada kewajipan menjaga untuk melindungi reputasi.
Tambah CTOS, kehilangan reputasi mesti dijadikan subjek tuntutan dalam fitnah dan Mahkamah Tinggi tidak mendapati bahawa CDS telah memfitnah Plaintif.
"Ia mendapati, sebaliknya, bahawa CDS telah melanggar kewajipan penjagaannya kepada Plaintif," katanya dalam perincian pemakluman awal kepada Bursa Malaysia yang dibuat pada 11 Mac lalu.
Tambah CTOS, setakat yang boleh dikatakan bahawa pemerhatian Hakim mengenai ketiadaan mana-mana peruntukan di bawah Akta Agensi Penerbitan Kredit (CRAA) 2010 yang memberi kuasa kepada CDS untuk merumuskan skor kredit adalah satu penemuan di mana CDS tidak mendapat manfaat keadilan semula jadi.
"Ini kerana ia bukan sebahagian daripada tuntutan Plaintif dan CDS oleh itu tidak diberi peluang sepenuhnya untuk didengar.
"Dalam hal ini, ia bukanlah bukti bahawa Plaintif telah membuat aduan kepada Pendaftar di bawah CRAA 2010 terhadap CDS kerana ia telah bertindak melanggar statut tersebut," kata CTOS.
ARTIKEL BERKAITAN: CTOS rayu keputusan mahkamah tiada kuasa beri skor kredit, melangkaui fungsi
CDS minggu lalu diarah membayar pampasan RM200,000 kepada pengarah sebuah resort susulan penarafan kredit yang tidak tepat.
Selain pampasan kepada plaintif, unit CTOS Digital Berhad itu juga didapati tidak mempunyai kuasa perundangan untuk merumuskan skor kredit seseorang untuk pelanggannya.
Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam penghakimannya baru-baru ini berkata, tiada peruntukan di dalam CRAA 2010 yang memberikan kuasa kepada CTOS untuk merumuskan skor kredit kerana mereka hanya diberi kuasa sebagai penyimpan maklumat kredit yang boleh diakses pelanggannya.
Hakim itu berkata, peranan utama CTOS ialah mengumpul, merekod dan menyimpan maklumat yang diterima serta diberikan kuasa untuk menyebarkan maklumat tersebut kepada pelanggannya termasuk institusi kewangan.
Memetik laporan media, Mahkamah Tinggi juga mendapati CTOS telah melanggar kewajipan untuk berjaga-jaga terhadap Suriati Mohd Yusof, 43, dan melangkaui fungsi-fungsi ia didaftarkan.
Oleh itu mahkamah membenarkan tuntutan plaintif dan memberikan ganti rugi sebanyak RM200,000. Mahkamah turut memberikan kos sebanyak RM50,000 kepada plaintif. - DagangNews.com








