Ratifikasi Protokol 29 ILO tangani isu buruh paksa | DagangNews Skip to main content

Ratifikasi Protokol 29 ILO tangani isu buruh paksa

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - Kerajaan komited menangani isu buruh paksa di semua sektor pekerjaan terutama sekali dalam sektor pembuatan sarung tangan getah dan perladangan kelapa sawit kebelakangan ini, menerusi ratifikasi Protokol 29.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Protokol 29 juga antara lain menggariskan tanggungjawab negara untuk mengambil langkah-langkah yang efektif dari segi perundangan, polisi dan program untuk menangani isu buruh paksa. 

 

Beliau berkata, selain itu, ratifikasi Protokol 29 akan menjadi panduan kepada usaha kerajaan untuk mencegah, melindungi dan mengawal gelaja buruh paksa selari dengan piawaian perburuhan antarabangsa.

 

"Saya akan mengadakan satu lawatan kerja ke Geneva, Switzerland bagi mendeposit ratifikasi protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung buruh paksa iaitu Protokol 29. Protokol ini adalah pelengkap kepada Konvensyen 29 mengenai buruh paksa yang telah diratifikasi Malaysia pada tahun 1957," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Saravanan berkata, Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan pelbagai sesi libat urus bersama semua kementerian dan agensi yang berkaitan selain penglibatan bersama pakar dari ILO sebagai persediaan untuk meratifikasi Protokol 29. 

 

"Di samping itu, sesi libat urus juga telah dilaksanakan dengan pihak berkepentingan lain seperti pertubuhan majikan, kesatuan sekerja, pertubuhan masyarakat madani dan pertubuhan antarabangsa lain," katanya.

 

Beliau berkata, Malaysia juga akan menyertai Alliance 8.7 sebagai Negara Pathfinder iaitu kumpulan negara yang telah menyatakan komitmen untuk membangunkan kerangka perundangan, dasar dan pelan tindakan ke arah menghapuskan buruh paksa dan buruh kanak-kanak. 

 

"Penyertaan ini adalah sebagai salah satu sumbangan negara dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Sasaran 8.7, seterusnya menjadi negara penanda aras dalam usaha-usaha membendung dan menghapuskan gejala buruh paksa, buruh kanak-kanak dan pemerdagangan orang. 

 

 

sara
Datuk Seri M. Saravanan

 

 

"Ratifikasi Protokol 29 dan penyertaan dalam Alliance 8.7 juga akan memberikan impak positif dari segi kedudukan negara dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang serta dalam platform melindungi hak asasi manusia," katanya.

 

Katanya, Malaysia juga bakal menerima bantuan teknikal daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga ILO untuk program kesedaran dan pembangunan kapasiti di samping memperolehi akses kepada amalan baik serta perkongsian pengalaman dengan negara Pathfinder lain.

 

Tambahnya, sekembalinya daripada lawatan kerja tersebut, beliau akan menandatangani memorandum persefahaman berhubung pengambilan pembantu rumah Indonesia dengan rakan sejawatnya, Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah di Jakarta pada awal bulan April 2022. - DagangNews.com