RAM sahkan penarafan Bintulu Port dengan AA1/Stabil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RAM sahkan penarafan Bintulu Port dengan AA1/Stabil

KUALA LUMPUR 21 Jan - RAM Ratings telah mengesahkan semula penarafan kredit korporat AA1/Stabil/P1 bagi Bintulu Port Holdings Bhd. (BPHB).

 

Pengesahan itu berdasarkan peranan penting BPHB sebagai satu-satunya pengendali terminal eksport gas asli cecair (LNG) di Malaysia dan pemudah cara pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

 

Menurut agensi penarafan itu, hubungan kumpulan yang erat dengan kerajaan secara tidak langsung turut memperkukuhkan lagi penarafan tersebut.

 

"Berdasarkan metodologi penarafan RAM untuk entiti berkaitan kerajaan, penarafan BPHB mendapat manfaat daripada peningkatan melebihi kekuatan kreditnya sendiri kerana kami percaya sokongan kerajaan yang luar biasa pada masa akan datang sekiranya berlaku masalah kewangan. 

 

"Ini kerana peranan penting BPHB dan hubungan kukuh dengan kedua-dua kerajaan Sarawak dan persekutuan," katanya dalam kenyataan bertarikh 22 Disember 2021 yang dilampirkan dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 
 

Bintulu Port Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh BPHB mengendalikan terminal eksport LNG di Pelabuhan Bintulu, yang menyediakan loji pencairan LNG Petroliam Nasional Bhd. (Petronas). 

 

Pelabuhan Samalaju pula, yang dikendalikan oleh Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd. (juga anak syarikat BPHB) berperanan sebagai hab logistik bagi import bahan mentah dan eksport produk siap daripada industri berat dan intensif tenaga yang berpangkalan di Taman Perindustrian Samalaju.

 

Taman perindustrian ini merupakan sebahagian daripada agenda SCORE untuk membangunkan dan menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030. 

 

Sementara itu, RAM turut mengesahkan penarafan AA1(s)/Stabil terhadap program Sukuk Murabahah Samalaju Industrial Port sehingga RM950 juta (2015/2036). 

 

Ia menandakan sokongan sokongan yang diberikan tanpa syarat dan jaminan korporat tidak boleh ditarik balik daripada BPHB, syarikat induk Samalaju.

 

"Kerajaan Negeri Sarawak memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju strategik Samalaju dan diwakili dalam lembaga pengarah syarikat.

 

"Pada masa sama, pengawasan kawal selia pelabuhan terletak pada Pihak Berkuasa Pelabuhan Samalaju, sebuah badan berkanun negeri," katanya. 

 

Menurut RAM, memandangkan pegangan saham BPHB yang pelbagai melalui Kerajaan Negeri Sarawak, Petronas dan agensi berkaitan kerajaan, insentif untuk menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat (jika dan apabila diperlukan) adalah kukuh.

 

"Ini akan memudahkan kejayaan SCORE di samping memastikan Samalaju memenuhi tuntutan kewangan dan operasi," jelasnya. - DagangNews.com