Pusat Perhubungan Alumni UPM berjaya kumpul dana lebih RM73,000 melalui Program Musaadah Ramadan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat Perhubungan Alumni UPM berjaya kumpul dana lebih RM73,000 melalui Program Musaadah Ramadan

Pusat Perhubungan Alumni UPM mengedarkan sebanyak 3,000 pek berbuka puasa untuk pelajar-pelajar universiti itu melalui majlis iftar Mega Putra 3.0. di universiti berkenaan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 April - Program Musaadah Ramadan anjuran Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) berjaya mengumpul dana sebanyak RM73,427 untuk disumbangkan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim yang memerlukan.

 

Pusat Perhubungan Alumni UPM dalam kenyataan hari ini berkata, program yang terbahagi kepada dua iaitu Program Tautan Mahabbah dan Program Mawaddah Ramadan, yang mana diadakan pada 8 April 2023 di di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin.

 

Manakala Program Mawaddah Ramadan pada 13 April 2023 pula berfokus untuk menyantuni pelajar-pelajar UPM dengan pemberian pek berbuka puasa secara percuma. 

 

"Ini merupakan program yang berterusan dalam usaha untuk bersama-sama melahirkan masyarakat madani yang sentiasa menyantuni insan yang memerlukan," katanya.

 

Terdahulu, Pusat Perhubungan Alumni UPM hari ini mengedarkan sebanyak 3,000 pek berbuka puasa untuk pelajar-pelajar universiti itu melalui majlis iftar Mega Putra 3.0.

 

Majlis tersebut dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman dan turut dihadiri Pengerusi dan Lembaga Pengarah universiti, Prof Emeritus Datuk Ibrahim Komoo.

 

Kali ini majlis mengetengahkan konsep berkongsi rezeki, selain semangat menyumbang alumni diperlihatkan daripada usaha untuk bersama-sama memberi dengan pelbagai menu disumbangkan antaranya nasi beriani, bubur lambuk, bergedil, burger, nasi lemak, popia goreng, dadih, aiskrim Malaysia, kuih tepung pelita dan sebagainya.

 

 

upm
Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman (tengah) bersama Prof Madya Dr Arba’ie Sujud (kiri) menyampaikan sumbangan baju raya kepada pelajar B40 dan asnaf.

 

 

Selain itu, seramai 100 pelajar B40 dan asnaf turut mendapat sumbangan baju raya sebagai satu usaha murni pihak Pusat Perhubungan Alumni UPM dan alumni untuk  memberi kegembiraan kepada mereka dalam menyambut lebaran yang bakal menjelang tiba. 

 

Sementara itu, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof Madya Dr Arba’ie Sujud menyifatkan slogan ‘Eratkan Kerjasama Sama Sesama Alumni’ cukup menebal dalam kalangan alumni dan juga seluruh warga UPM.  

 

 

upm

 

 

Katanya, pihak ARCUPM mengalu-alukan sumbangan daripada pihak alumni, individu dan badan korporat dalam bersama-sama menyuburkan rasa ihsan untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang tidak berkemampuan. 

 

 

upm

 

 

“Alumni telah memainkan peranan yang cukup hebat apabila sejumlah besar sumbangan dapat dikumpulkan dan seterusnya diagihkan kepada mereka yang memerlukan terutama pelajar UPM dan juga komuniti setempat," katanya.

 

Tambahnya, kesepakatan ini akan diteruskan lagi untuk terus menjulang kehebatan dan kejayaan UPM sebagai sebuah universiti yang gemilang bukan sahaja di peringkat lokal tetapi juga pada peringkat global. - DagangNews.com