PublicInvest unjur PMI Malaysia kekal di bawah paras 50 mata untuk baki tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest unjur PMI Malaysia kekal di bawah paras 50 mata untuk baki tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia kekal di bawah 50 mata untuk baki tahun ini.

 

Unjuran firma itu untuk sektor pembuatan juga telah disemak dengan kadar pertumbuhan yang lebih rendah sebanyak 2% pada tahun ini.

 

Katanya, bacaan terkini sebanyak 47.8 mata membayangkan kelembapan dalam perniagaan dan ia adalah sejajar dengan apa yang berlaku pada suku kedua tahun ini.

 

"Kami kekal berhati-hati dengan prospek sektor pembuatan selepas mengambil kira situasi yang tidak menentu termasuk permintaan yang tidak stabil.

 

"Pelbagai faktor memainkan peranan dalam perkar aini termasuk termasuk tekanan inflasi, yang masih melebihi paras pra-pandemik, kesan kadar faedah dan konflik geopolitik yang berterusan.

 

"Oleh itu kami mengekalkan bahawa trajektori PMI Malaysia kekal konsisten dengan aliran PMI global dan kami mengunjurkan bahawa ia akan terus merosot di bawah paras 50 mata untuk baki tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kemerosotan ekonomi maju utama dalam pembentukan modal kasar dan pengeluaran telah menjejaskan aktiviti perdagangan serta pembuatan antarabangsa di pasaran baharu muncul.

 

Permintaan dan pengeluaran yang semakin lemah memberi gambaran jelas situasi yang berlaku dalam sektor itu.

 

"Sektor pembuatan Malaysia dijangka sejajar dengan kemerosotan kitaran jangka pendek seperti di dalam industri semikonduktor yang dilihat terus bergelut dengan keadaan pertumbuhan yang lemah," katanya.

 

Firma itu berkata, prospek perniagaan adalah suram kerana kebanyakan syarikat berdepan penyusutan kadar pesanan termasuk di dalam dan luar negara.

 

Katanya, indeks sentimen perniagaan terus kekal di bawah ambang 100 mata iaitu pada 95.4 pada suku pertama 2023 berbanding 85.9 pada suku keempat 2022. - DagangNews.com