KUALA LUMPUR 31 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Homeritz Corporation Berhad berikutan peningkatan persekitaran kadar faedah semasa.
Jelasnya, kadar faedah telah memberi kesan negatif kepada pasaran hartanah dan menyebabkan permintaan perabot menurun.
Firma penyelidikan itu berkata, tempoh utama pengeluaran telah menurun kepada 45 hari (sebelum COVID: 90 hari).
“Namun begitu, kadar pertukaran mata wang asing (USD/MYR) yang menggalakkan dan inisiatif kumpulan untuk mengambil bahagian dalam pameran rumah seharusnya membantu mendapatkan lebih banyak tempahan dan mengurangkan sebahagian kemerosotan permintaan perabot,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Oleh itu, firma tersebut mengekalkan ramalan pendapatan untuk FY23-25 tidak dan mengulangi saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) 48 sen sesaham.
Syarikat pengilang perabot yang mengeksport produknya ke lebih 40 negara itu telah mencatatkan kemerosotan keuntungan bersih pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) sebanyak 44.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM6.2 juta, disebabkan penurunan jumlah jualan di rantau Asia dan Malaysia.
Menurut PublicInvest, keputusan kumulatif sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) dalam anggarannya dan konsensus masing-masing pada 80% dan 74%.
“Kami difahamkan bahawa kumpulan itu telah mengambil bahagian secara aktif dalam pameran perabot KL dan China, yang sepatutnya membantu dalam mendapatkan tempahan daripada pelanggan baharu dan sedia ada.
“Walaupun ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan, impak mungkin tidak begitu ketara, pada pandangan kami.
“Permintaan perabot keseluruhan kekal lembap dalam tempoh terdekat disebabkan persekitaran kadar faedah semasa yang tinggi,” ujarnya.
Pada waktu rehat tengahari ini, saham Homeritz didagang tidak berubah pada 47.5 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM220 juta. - DagangNews.com







