PublicInvest jangka Dayang Enterprise raih lebih banyak lanjutan kontrak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PublicInvest jangka Dayang Enterprise raih lebih banyak lanjutan kontrak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan Dayang Enterprise Holdings akan menerima lebih banyak lanjutan kontrak kerana kebanyakan kontrak mereka akan mencapai tarikh luput pada separuh kedua tahun ini.

 

Firma itu berkata, lanjutan kontrak penyelenggaraan yang diterima daripada JX Nippon bukan sesuatu yang mengejutkan kerana aktiviti penyelenggaraan luar pesisir dan kekangan masa untuk pelanggan mengeluarkan tender baharu untuk bidaan.

 

"Kami mengekalkan pandangan optimis terhadap prospek kumpulan dengan pesanan yang kukuh sebanyak RM1.48 bilion.

 

"Kami juga menjangkakan pendapatan kumpulan akan kembali kepada prestasi penuh dari suku kedua dan seterusnya, selepas musim tengkujuh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Dayang Enterprise terima lanjutan kontrak penyelenggaraan selama setahun lima bulan daripada JX Nippon

 

Terdahulu, kumpulan itu berkata, nilai lanjutan kontrak yang diraih itu adalah berdasarkan tempahan kerja yang dikemukakan JX Nippon sepanjang tempoh kontrak.

 

Firma itu berkata, kontrak asal telah diberikan pada 2018 untuk tempoh lima tahun dengan pilihan untuk dilanjutkan selama setahun.

 

Kontrak telah dilanjutkan selama 1 tahun 5 bulan sehingga Disember 2024, lebih lama daripada tempoh asal.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.85 sesaham. - DagangNews.com