Public Investment turunkan unjuran pendapatan AGB antara 3% ke 10% bagi FY2022 hingga FY2024 | DagangNews Skip to main content

Public Investment turunkan unjuran pendapatan AGB antara 3% ke 10% bagi FY2022 hingga FY2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mac - Public Investment Bank Research menurunkan unjuran pendapatan Able Global Berhad (AGB) antara 3% ke 10% bagi FY2022 hingga FY2024 dengan jangkaan peningkatan kos bahan mentah lebih tinggi.

 

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, harga komoditi naik secara mendadak akibat gangguan rantaian bekalan global selain keadaan tidak stabil berpunca daripada konflik antara Rusia-Ukraine.

 

Katanya, harga susu tepung dan gula mencatatkan peningkatan sebanyak 36% dan 18% dari tahun ke tahun.

 

"Walaupun mudah untuk AGB menaikkan harga jualannya tetapi kenaikan harga secara berperingkat tidak akan dapat menampung sepenuhnya kesan kenaikan mendadak harga bahan mentah.

 

"Bagaimanapun, kami percaya margin keuntungan akan kembali normal selepas gangguan rantaian bekalan itu selesai," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sedang dalam proses audit bersama Kementeria Kesihatan Mexico dan Walmart dengan AGB bakal membekalkan produk tenusu mereka ke pasar raya itu 1QCY2022 selepas mendapat kelulusan.

 

"Seandainya AGB berjaya mendapatkan kelulusan, kami percaya bahawa kadar pengeluaran kumpulan itu akan meningkat dan mencapai sasaran pengurusan untuk pulang modal bagi tahun pertama operasi dengan permintaan pasaran produk tenusu sangat baik," katanya.

 

Terdahulu AGB merekodkan kadar penggunaan yang rendah iaitu 51% pada FY2021 berbanding 57% pada FY2020 akibat beberapa sekatan akibat COVID-19 selain henti operasi akibat banjir pada Disember 2021.

 

"Kamai faham bahawa operasi kilang di Kalng terkesan selama 12 hari dan kami juga tidak menjangkakan kerajaan akan memperkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Perkara ini dilihat akan menjadi pendorong kepada kumpulan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memperbaiki margin keuntungan pada skala ekonomi yang lebih baik," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' untuk saham AGB dengan harga sasaran lebih rendah RM1.78 berbanding RM2.00 selepas melakukan pelarasan pendapatan untuk kumpulan itu. - DagangNews.com