Proton dilantik sebagai pengedar kenderaan elektrik smart di Malaysia dan Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proton dilantik sebagai pengedar kenderaan elektrik smart di Malaysia dan Thailand

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Proton hari ini memuktamadkan perjanjiannya untuk menjual dan servis kenderaan elektrik (EV) premium daripada smart Automobile Company (smart) di Malaysia serta Thailand menerusi Perjanjian Pengedaran Am. 

 

Kedua-dua pihak memberikan persetujuan untuk membuka jalan kepada pengenalan kenderaan tenaga baharu daripada pengeluar kenderaan nasional. 

 

Model pertama smart yang akan dijual Proton semasa fasa pertama kerjasama itu akan dilancarkan pada awal suku akhir tahun 2023.


 
Kerjasama utama antara Proton dengan smart adalah untuk penjualan kenderaan, namun terdapat pembangunan keseluruhan untuk menembusi pasaran tenaga baharu. 

 

Sebagai contoh, syarikat mengumumkan hasratnya untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, di samping menyedia dan memasang unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat mengecas kenderaan mereka di rumah.

 

Proton juga mengumumkan hasratnya untuk memodelkan operasi jualan untuk smart seperti yang dilakukan syarikat tersebut di pasaran lain. 

 

Oleh itu, penekanannya adalah integrasi gaya hidup digital dengan elemen lain yang akan menyesuaikan pilihan pelanggan dengan penyelesaian digital yang merangkumi perancangan perjalanan, ketersediaan pengecas dan pertimbangan pembelian.

 

 

proton

 

 

Antara perkara yang sedang diterokai syarikat dengan kemasukan ke dalam pasaran ini adalah untuk menarik bakat muda. 

 

Dengan peralihan pantas dalam pemilihan pekerjaan, Proton akan melaksanakan rancangan jangka masa panjang untuk pelestarian dan kecekapan tenaga serta meningkatkan skor ESG bagi menarik minat pekerja industri automotif generasi akan datang.

 

 

proton

 

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, ia merupakan satu langkah besar bagi Proton dalam menembusi pasaran kenderaan tenaga baharu. 

 

 

proton

 

 

"Fasa pertama perniagaan dengan smart bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi juga mengambil pengetahuan dan pengalaman yang berharga bukan sahaja dari cara pengendalian servis dan pengecasan EV tetapi juga mengubah cara kami berinteraksi dengan pelanggan. 

 

"Peralihan ke dalam segmen pasaran ini juga akan membantu memacu Proton ke arah menjadi lebih mesra alam dalam semua aspek operasi di samping berusaha untuk membantu Malaysia mencapai sasaran neutraliti karbon menjelang 2050,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com