Protege RTW bantu 5,000 penganggur | DagangNews Skip to main content

Protege RTW bantu 5,000 penganggur

Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR 23 Julai - Program Professional Training and Education for Growing Enterpreneurs-Ready To Work (Protege RTW), dijalankan bagi mambantu seramai 5,000 penganggur.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Protege RTW berperanan untuk membantu meningkatan potensi kebolehpasaran siswazah yang belum mendapat peluang pekerjaan.

"Protege telah dijenamakan semula daripada program asalnya iaitu Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) pada September 2019.

"Struktur asal SL1M masih dikekalkan dan turut ditambah baik dengan pengenalan modul latihan berkaitan asas keusahawanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Protege RTW yang sedang dijalankan itu akan ditempatkan di syarikat-syarikat yang mengambil bahagian bagi menjalani latihan selama lapan hingga 12 bulan.

Beberapa syarikat terlibat adalah seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat penerima perolehan kerajaan di bawah arahan Pekeliling Perbendaharaan Perolehan Kerajaan termasuk syarikat-syarikat swasta.

Program itu turut diperluas dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) melalui Graduate Program 2000.

"Inisiatif ini menyasarkan seramai 2,000 siswazah setiap tahun akan menjalani latihan penempatan di 120 institusi kewangan mulai Julai 2020.

"Manakala program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp (N-GENE) melalui kerjasama CEDAR SME Bank pula bertujuan untuk meningkatkan potensi kebolehpasaran dan kemahiran keusahawanan dalam talian selama sembilan bulan," jelasnya.

Program tersebut menyasarkan penyertaan daripada 2,000 siswazah dan penuntut institusi pengajian tinggi dan latihan kemahiran awam. - DagangNews.com