KUALA LUMPUR 22 Sept - United U-Li Corp Bhd telah menyaksikan peningkatan kukuh dalam tempahan untuk produk utamanya, iaitu sistem sokongan kabel, dan bersedia untuk lebih sibuk pada masa akan datang didorong oleh jangkaan tempahan daripada beberapa projek mega.
Optimistik terhadap prospek United U-Li Corp, Kenanga Research mendedahkan bahawa kumpulan itu mempunyai 81 projek yang sedang dijalankan pada tahun ini, yang dijangka dapat meningkatkan pendapatan jangka pendeknya.
Menurut firma penyelidikan itu jumlah buku pesanan kumpulan itu kini bernilai RM80 juta yang dijangka membuatkan mereka sibuk selama dua hingga tiga bulan.
“Projek mega pada lima tahun akan datang, termasuk Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Sistem Transit Rapid (RTS) (Malaysia), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kereta api berkelajuan tinggi (HSR), MRT Singapura dan beberapa pusat data, bersedia untuk memastikan pendapatan konsisten dan memupuk pertumbuhan pada tahun-tahun mendatang.
“Dengan bahagian pasaran terbesar dalam sistem sokongan kabel, yang juga menjadi kurang kompetitif selepas era pandemik, kami percaya kumpulan itu mempunyai peluang yang kukuh untuk mendapatkan kerja-kerja tersebut,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, United U-Li Corp telah melabur dalam dua kilang baharu di Nilai, yang akan meningkatkan kapasiti pengeluarannya sebanyak 40%.
Kenanga Research berkata kumpulan itu juga berhasrat untuk mengembangkan rangkaian produknya kepada saluran keluli GI, saluran PVC, tiang lampu dan rel penghadang, sejajar dengan kepakaran perniagaan sedia ada.
Firma itu berkata produk berkenaan dijangka bermula pada tahun kewangan 2025 (FY25) dan memperoleh margin tinggi sekurang-kurangnya 30%, seperti yang didedahkan oleh kumpulan.
Oleh itu, Kenanga Research meningkatkan pendapatan FY23-24 masing-masing sebanyak 68% dan 79%, bagi mengambil kira: (i) permintaan lebih tinggi untuk segmen sistem sokongan kabelnya yang disokong oleh inisiatif pertumbuhan (ECRL, MRT3, HSR, RTS dan lain-lain), dan (ii) margin lebih kukuh disebabkan kurang persaingan dan penyumberan proses penyaduran.
Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM2.18 sesaham daripada RM1.22.
Pada pukul 10:13 pagi ini, saham United U-Li Corp telah menokok 9 sen atau 6.2% kepada RM1.54 dengan permodalan pasaran bernilai RM335.4 juta. - DagangNews.com








