Prospek Petronas Dagangan malap ekoran subsidi bahan api mungkin dikurangkan, kata CGS-CIMB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Petronas Dagangan malap ekoran subsidi bahan api mungkin dikurangkan, kata CGS-CIMB Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Pengurangan subsidi bahan api berpotensi berlaku dan boleh menjejaskan pertumbuhan jualan runcit Petronas Dagangan Bhd pada masa akan datang, kata CGS-CIMB Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, prospek kumpulan bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) adalah baik namun prospek jangka sederhana dilihat malap jika kerajaan mengurangkan subsidi bahan api.

 

“Prospek jangka sederhana perniagaan runcit mungkin menjadi lebih mencabar jika subsidi bahan api dikurangkan memandangkan kerajaan telah memberi bayangan ia mungkin berlaku untuk jualan runcit diesel, ini adalah pemangkin utama penurunan taraf kumpulan,” ulas firma itu dalam nota hari ini.

 

Firma itu berkata pertumbuhan volum runcit juga mungkin berkurang kepada peratusan satu digit yang rendah pada suku akan datang kerana volum semasa sudah berada di atas tahap pra-COVID sebanyak 10 hingga 15%.

 

Prospek pertumbuhan pendapatan yang tidak menentu juga mungkin menghalang pertumbuhan dividen, kata CGS-CIMB sambil mengurangkan anggaran pengagihan kepada 100% daripada 130% sebelumnya.

 

Mengulas mengenai prospek suku kedua 2023, firma itu berkata purata harga bahan api berdasarkan Mean of Platts Singapore (MOPS) turun lagi 12% pada 2QFY23 daripada suku pertama 2023.

 

“Ini berkemungkinan mendorong keuntungan komersial kumpulan agar kekal kukuh dan membantu menyokong prestasinya dalam 2QFY23. Jumlah jualan bahan api jet juga mungkin terus meningkat secara berurutan menjelang musim panas,” tambahnya.

 

Oleh itu, CGS-CIMB menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 5 hingga 9% berikutan firma itu meningkatkan keuntungan perniagaan komersial disebabkan harga MOPS yang mungkin jatuh lebih cepat daripada harga jualan kepada pelanggan setakat tahun ini.

 

Prestasi kewangan 1QFY23 kumpulan telah mencatat keuntungan bersih teras melebihi jangkaan firma dan konsensus Bloomberg masing-masing pada 33% dan 38% disebabkan keuntungan komersial dan kedai serbaneka yang lebih kukuh.

 

Firma itu meningkatkan unjuran keuntungan kedai serbaneka berdasarkan keuntungan 1QFY23 yang lebih baik daripada jangkaan disebabkan trafik pembeli di kedai itu semakin baik.

 

Bagaimanapun, firma itu mengulangi saranan ‘kurang’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM17.56 sesaham daripada RM19.34. -DagangNews.com