KUALA LUMPUR 8 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor teknologi berikutan prospek pendapatan jangka pendek mungkin dihadkan oleh kelembapan pertumbuhan ekonomi global.
Selain itu, firma penyelidikan itu berkata kesan daripada kelembapan sedikit dalam jualan automotif akan terserlah dalam keputusan suku keempat tahun ini, yang menimbulkan risiko pendapatan lebih rendah.
"Kami juga menjangkakan kesan limpahan pendek didorong jualan telefon pintar baharu dalam suku keempat 2023, yang boleh memanfaatkan Inari Amertron.
"Sebarang penilaian semula positif sektor ini akan bergantung pada tanda-tanda pemulihan permintaan yang lebih cepat daripada jangkaan dalam segmen semikonduktor dan barangan elektronik pengguna," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Daripada tujuh syarikat di bawah liputannya, AmInvestment berkata lima melaporkan hasil dalam jangkaan iaitu Globetronics (pegang, nilai saksama (FV): RM1.36), Inari Amertron (beli, FV: RM3.53), Pentamaster (pegang, FV: RM5.50), CTOS Digital (beli, FV: RM1.80) dan Infomina (pegang, FV: RM1.82).
Sementara itu, dua syarikat mencatat keputusan di bawah jangkaan iaitu ViTrox Corp (beli, FV: RM8.60) dan Malaysian Pacific Industries (MPI) (pegang, FV: RM2).
Menurut AmInvestment, pendapatan sektor dalam suku tersebut meningkat dengan ketara sebanyak 65% suku ke suku (QoQ) daripada syarikat yang terlibat dalam pemasangan dan ujian semikonduktor sumber luar (OSAT) dan peralatan ujian automatik (ATE).
Ini didorong oleh peningkatan permintaan barangan elektronik pengguna untuk pelancaran telefon pintar baharu dan sumbangan lebih tinggi daripada rumusan automatik kilang Pentamaster untuk segmen perubatannya.
Bagaimanapun, segmen produk elektronik pengguna dijangka kekal perlahan walaupun dipacu oleh pelancaran telefon pintar baharu.
"Kami percaya segmen produk elektronik pengguna akan kekal lembut dengan pemulihan perlahan pada 2024. Ini dibebani oleh sentimen pengguna yang tidak jelas dan kitaran penggantian inventori yang perlahan," katanya.
Sementara itu, segmen automotif terhenti sementara dalam jangka pendek manakala prospek jangka panjang kekal utuh dan dijangka terus dalam trend penurunan kecil dalam suku keempat 2023.
Walaupun terdapat halangan jangka pendek, AmInvestment berkata keyakinan wujud untuk sektor automotif, terutamanya dalam kenderaan elektrik (EV).
"Prospek jangka panjang kekal kukuh, didorong oleh peningkatan penggunaan elektrifikasi kenderaan dan pemanduan autonomi," tambahnya. - DagangNews.com








