Prospek pendapatan Ibraco disokong nilai pembangunan kasar RM5.6 bilion – TA Securities | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan Ibraco disokong nilai pembangunan kasar RM5.6 bilion – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac - Prospek pendapatan Ibraco Berhad positif disokong jualan kukuh belum dibilkan sebanyak RM244.8 juta, nilai pembangunan kasar (GDV) masa depan berjumlah RM5.6 bilion dan buku pesanan pembinaan tertunggak bernilai RM1.2 bilion

 

TA Securities mengunjurkan syarikat pembinaan berpangkalan di Sarawak itu mencatat kenaikan pendapatan bersih pada kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) lima tahun sebanyak 24.2% kepada RM69.5 juta pada tahun kewangan 2026 (FY26).

 

“Berikutan perbincangan yang produktif dengan pengurusan Ibraco, kami optimis tentang prospek pendapatan masa depan kumpulan. 

 

“Perkara utama daripada mesyuarat itu termasuk jangkaan angka jualan FY23 lebih tinggi, sasaran jualan FY24 konservatif sebanyak RM400 juta, usaha kumpulan aktif membida walaupun mempunyai buku pesanan pembinaan yang besar dan bahagian bahan binaan yang melengkapkan bahagian hartanah dan pembinaan,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selepas menaikkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY25-26 sebanyak 1% hingga 10%, TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.18 sesaham daripada RM1.16 sebelumnya.

 

Dengan Ibraco melancarkan dua projek yang sangat dinanti-nantikan di lokasi yang pelbagai—Arden City di Kota Samarahan dan NewUrban Residence di Petaling Jaya — TA Securities menjangkakan peningkatan ketara dalam jualan, berkedudukan melebihi sasaran jualan pengurusan.

 

Di samping itu, dengan rekod prestasinya merentasi pelbagai projek infrastruktur, Ibraco di kedudukan yang baik apabila Sarawak memulakan perbelanjaan infrastruktur besar-besaran untuk mencapai matlamatnya menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030. 

 

Firma itu berkata, potensi untuk projek baharu di Sarawak adalah banyak dan setelah mengambil kira keupayaan Ibraco, ia menjangkakan kumpulan itu mengambil bahagian dalam tender untuk kerja-kerja pembesaran lapangan terbang di Sibu, Miri, dan Kuching, serta cadangan lapangan terbang baharu di Lawas.

 

Ia menambah bahawa kumpulan itu mungkin akan membida program grid bekalan air, Laluan Hijau Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) sepanjang 30km yang menghubungkan Pending dan Damai, serta projek pembinaan loji pengeluaran hidrogen hijau dan kemudahan sokongan.

 

“Bahagian pembinaan Ibraco mempunyai kapasiti untuk menguruskan kontrak baharu bernilai RM1 bilion. 

 

“Ini menunjukkan bahawa kumpulan itu mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan projek baharu untuk lima tahun akan datang tanpa mengeluarkan perbelanjaan modal tambahan bagi mengembangkan bahagian pembinaan,” katanya.

 

Pada pukul 10:33 pagi ini, saham Ibraco telah susut 0.5 sen atau 0.5% kepada 92 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM502.4 juta.- DagangNews.com