Prospek MNRB bagi FY24 dijangka lebih baik disokong pertumbuhan pendapatan takaful – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek MNRB bagi FY24 dijangka lebih baik disokong pertumbuhan pendapatan takaful – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Prospek MNRB Holdings Bhd dijangka lebih baik dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24) disokong pertumbuhan pendapatan takaful.

 

Dengan jangkaan kadar faedah stabil, Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan pelaburan MNRB menyaksikan keuntungan positif bagi tahun kewangan ini, serta sumbangan positif daripada 20% syarikat bersekutunya Labuan Reinsurance.

 

Firma penyelidikan itu meningkatkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2024 hingga 2026 (FY24-26) sebanyak 6% hingga 11% untuk mengambil kira pendapatan pelaburan lebih tinggi.

 

Firma itu juga menaik taraf saranan saham kumpulan itu kepada ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM1.40 sesaham berbanding RM1.09 sebelumnya.

 

“Momentum pertumbuhan pendapatan MNRB secara amnya adalah positif, dengan premium atau caruman kasar (GPC) meningkat 12.6% tahun ke tahun (YoY) pada suku pertama tahun kewangan 2024  (1QFY24).

 

“Kami menjangkakan momentum GPC akan dikekalkan untuk bahagian Takaful Amnya yang dipacu oleh jualan kereta yang memberangsangkan, serta perniagaan insurans semula/takaful semulanya.

 

“Kami menjangkakan GPC bahagian Takaful Keluarganya akan menguncup tahun ini sebanyak kira-kira 10% , yang telah menyusut 5% pada 1QFY24, dengan caruman yang lebih rendah daripada bancatakaful dan agensi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Tanpa sebarang tuntutan besar, Maybank IB menjangkakan pendapatan kumpulan secara amnya lebih baik pada tahun ini.

 

Selain itu, peralihan daripada perniagaan insurans semula tidak menguntungkan kepada perniagaan lebih stabil, misalnya Ejen Am Urusan, seharusnya membantu kumpulan mengurus pengalaman tuntutannya dengan lebih baik.

 

Pada pukul 12:12 tengah hari ini, saham MNRB telah menokok 1 sen atau 0.8% kepada RM1.20 dengan permodalan pasaran sebanyak RM939.7 juta.  - DagangNews.com