Prospek KLK kekal mencabar ekoran harga minyak sawit mentah diunjur lebih rendah - Public Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek KLK kekal mencabar ekoran harga minyak sawit mentah diunjur lebih rendah - Public Investment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jan - Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) menjangkakan prospek kumpulan kekal mencabar susulan prestasi harga minyak sawit mentah yang lebih lemah dan persaingan sengit daripada produk hiliran. 

 

Ini mendorong Public Investment Bank Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap KLK dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM23.25 daripada RM23.17 sesaham. 

 

Menurut firma itu, KLK mengunjurkan harga minyak sawit mentah akan berlegar sekitar RM4,000 satu tan metrik bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2023 (FY23). 

 

Katanya, kumpulan turut menyasarkan pengeluaran buah tandan segar kepada 5.9 juta tan metrik bagi FY23, peningkatan tahunan sebanyak 20%. 

 

"Sasaran ini mengambil kira produktiviti yang lebih tinggi memandangkan masalah kekurangan buruh semakin berkurangan dan peningkatan sumbangan daripada LK Sawit Nusantara (sebelum ini dikenali sebagai IJM Plantations) dan PT Pinang Witmas yang mempunyai kawasan tanaman seluas 14,000 hektar.

 

"Pada masa sama, KLK juga menjangkakan kira-kira satu pertiga daripada kawasan belum matang (10,000 hektar) mencapai tempoh matang pada FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Situasi kekurangan buruh yang dihadapinya semakin mereda apabila kumpulan telah mengambil 1,400 pekerja asing pada September 2022.

 

Selepas itu, ia turut mengemukakan 2,000 lagi permohonan untuk mendapatkan pekerja ladang dari Indonesia yang dijangka tiba pada separuh pertama 2023.

 

Bagi kos pengeluaran minyak sawit mentah pula, Public Investment berkata, kumpulan menjangkakan ia lebih stabil pada RM2,000 satu tan metrik atau lebih rendah sedikit disebabkan harga baja yang lebih lemah. 

 

Menurut firma itu, kumpulan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM2.4 bilion bagi FY23 dengan 66% daripadanya diperuntukkan untuk segmen pembuatan diikuti segmen perladangan (32%).

 

Ia juga merancang untuk melaksanakan tanaman semula membabitkan kawasan seluas 9,000 hingga 10,000 hektar.

 

"Kami dapati pembinaan bagi loji penapisan baharu di timur Kalimantan dengan kapasiti 2,000 tan metrik dijangka siap menjelang suku kedua 2023.

 

"Kilang penapisan ini akan memproses pengeluaran buah tandan segar daripada kawasan ladang berhampiran seluas 77,000 hektar," jelasnya.

 

Selain itu, sebuah loji oleokimia baharu, yang merupakan sebahagian daripada kompleks bersepadu, dianggarkan siap menjelang akhir 2024. 

 

"Pengurusan merancang untuk meneroka proses pembuatan khusus hiliran di semua negara yang beroperasi, iaitu Jerman, China, Indonesia dan Malaysia," tambahnya. - DagangNews.com