Prospek Guan Chong mencabar akibat bekalan kekacang terhad, harga koko terus meningkat – AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Guan Chong mencabar akibat bekalan kekacang terhad, harga koko terus meningkat – AmInvestment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Sept - AmInvestment Bank Research tetap berhati-hati terhadap prospek Guan Chong Berhad berikutan bekalan kekacang terhad dan harga koko telah meningkat menyebabkan penangguhan penghantaran kepada pelanggan.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia kekal berhati-hati memandangkan volum pengisaran lebih rendah akibat bekalan kekacang terhad.

 

Selain itu, purata harga jualan serbuk koko juga lebih rendah, yang menyumbang 24% daripada jumlah pendapatan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding 25% dalam 1QFY23.

 

Kumpulan itu juga berhadapan dengan penangguhan penghantaran disebabkan kebimbangan pelanggan terhadap harga koko yang tinggi.

 

“Harga koko terus meningkat 4% suku ke suku (QoQ) dan 45% tahun ke tahun (YoY) kepada purata AS$3,125 setiap tan metrik pada 2QFY23 disebabkan hasil kekacang yang lebih rendah. Pengeluaran kekacang dipengaruhi oleh keadaan cuaca buruk dan kekurangan baja akibat konflik Rusia-Ukraine serta virus pucuk bengkak.

 

“Kami menjangkakan harga koko kekal tinggi dalam jangka dekat hingga sederhana berikutan pengeluaran global lebih rendah akibat masalah tanaman. Pada masa ini, harga niaga hadapan koko masa telah meningkat kepada AS$3,500 setiap tan metrik, peningkatan 52% YoY,” ulas AmInvestment dalam not penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, pengurusan kumpulan berkata kilangnya di Ivory Coast beroperasi dengan kapasiti 60,000 tan metrik telah berjalan pada kadar penggunaan optimum 85% pada 2QFY23 berbanding 81% pada 1QFY23, di mana 24,000 tan metrik kapasiti telah diperuntukkan untuk menyokong pengeluaran coklat SCHOKINAG.

 

Tambahnya, fasa kedua pengembangan untuk menambah kapasiti 60,000 tan metrik lagi telah ditangguh kerana permintaan pasaran lebih rendah serta penurunan hasil kekacang disebabkan penyakit virus pucuk bengkak.

 

“Sumbangan yang lebih rendah daripada kilang Ivory Coast telah diambil kira dalam pendapatan kumpulan bagi FY24,” kata firma itu.

 

Di samping itu, kilang Guan Ching di Suffolk, United Kingdom telah memulakan operasi pada 2QFY23 dengan kapasiti pengeluaran coklat industri tahunan sebanyak 16,000 tan metrik, namun pengurusan berkata sumbangan kilang berkenaan lebih perlahan kerana ia masih dalam proses mendapatkan kelayakan audit pelanggan menjelang akhir tahun ini.

 

AmInvesment mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) tidak berubah pada RM2.47 sesaham.

 

Pada pukul 11:57 pagi ini, saham Guan Chong telah menokok 3 sen atau 1.5% kepada RM2.10 dengan permodalan pasaran bernilai RM2.47 bilion. Setakat tahun ini, saham kumpulan itu telah merosot 13.6% daripada RM2.43. - DagangNews.com