KUALA LUMPUR 30 Nov - MIDF Research optimis dengan prospek Datasonic Group Bhd. berikutan komitmennya untuk terus bergerak ke hadapan mendahului teknologi keselamatan
Ini menjadikan penyedia penyelesaian ICT bersepadu itu lebih menarik berbanding pemain industri lain yang dipilih secara berterusan sebagai vendor penyelesaian berkaitan keselamatan identiti pengenalan diri (ID) nasional.
Menurut firma itu, rekod prestasi Datasonic sejak 2012 dalam dokumen keselamatan ID nasional tidak dapat ditandingi oleh pemain industri lain kerana kumpulan memiliki pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang kukuh dan teknologi termaju meskipun pembentukan kerajaan perpaduan baharu mungkin menimbulkan risiko untuk mendapatkan lebih banyak projek kerajaan.
Katanya, prospek kumpulan juga lebih baik berikutan jangkaan permintaan terpendam untuk dokumen perjalanan seiring dengan pelonggaran sekatan perjalanan.
"Selain itu, pihak pengurusan yakin untuk mendapatkan kontrak baharu untuk generasi baharu MyKad yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
"Ia juga termasuklah lanjutan kontrak untuk penyelesaian berkaitan pasport, penyelesaian berkaitan MyKad, penyelesaian i-Kad dan ID digital nasional kad disokong teknologi sedia adanya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Datasonic catat pendapatan suku tahunan tertinggi RM93.6 juta, untung bersih RM24.9 juta
Datasonic mencatat lonjakan perolehan sebanyak 225.7% tahun ke tahun bagi suku kedua berakhir 30 September 2022 kepada RM93.6 juta berbanding RM28.7 juta pada tahun sebelum ini, sekali gus hasil suku tahunan tertinggi pernah diraihnya.
Pencapaian ini adalah isebabkan terutamanya oleh bekalan pasport, kad pintar dan perkhidmatan pemperibadian yang lebih tinggi.
Keuntungan selepas cukai pada suku berkenaan dan kepentingan bukan kawalan (PATNCI atau keuntungan bersih) melonjak kepada RM24.9 juta daripada RM1.0 juta setahun lalu.
Secara kumulatif, hasil separuh pertama meningkat 241.8% tahun ke tahun kepada RM157.7 juta berbanding RM46.1 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Menurut MIDF Research, dengan mencatat keuntungan dinormalisasikan sebanyak RM37 juta pada separuh pertama, ia merangkumi 44% daripada jangkaannya dan 49% konsensus bagi anggaran penuh tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23).
"Kami menganggap hasil bagi tempoh ini adalah dalam anggaran kami kerana menjangkakan pendapatan yang lebih tinggi daripada pasport dan perkhidmatan berkaitan MyKad (Penyelesaian Tersuai) pada separuh kedua FY23 berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa," jelasnya.
Berikutan prospek positif Datasonic, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Datasonic dengan harga sasaran tidak berubah pada 57 sen.
Setakat 10.45 pagi, harga sahamnya susut 2 sen atau 3.88% kepada 49.5 sen dengan 7.42 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








