Prospek Chin Well kurang meyakinkan ekoran jumlah jualan terus lemah – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Chin Well kurang meyakinkan ekoran jumlah jualan terus lemah – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mac - Prospek Chin Well Holdings Bhd kurang meyakinkan berikutan jumlah jualan pengikat yang dijangka terus lemah dalam tempoh terdekat disebabkan permintaan kian perlahan.

 

TA Securities menjelaskan bahawa pemulihan perlahan sektor hartanah di China menyebabkan permintaan lembap.

 

Walaupun pengenalan pakej rangsangan 1 trilion yuan bertujuan untuk mengurangkan tekanan deflasi, firma penyelidikan itu berkata sektor hartanah China terus menghadapi cabaran tanpa kejelasan lanjut tentang pakej rangsangan tersebut.

 

“Tambahan pula, di rantau Eropah, peningkatan kos penghantaran dan lanjutan masa penghantaran dari Malaysia ke Eropah – sehingga 30 hari – disebabkan gangguan logistik yang berpunca daripada krisis Laut Merah telah melembapkan lagi permintaan. 

 

“Namun begitu, syarikat itu menjangkakan bahawa cabaran akan beransur-ansur berkurangan daripada separuh kedua 2025 dan seterusnya, disokong oleh pelancaran lebih banyak projek infrastruktur baharu dan pemulihan ekonomi global,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut TA Securities, prospek pendapatan bahagian wayar Chin Well juga suram berikutan persaingan sengit daripada pemain China yang mengakibatkan purata harga jualan (ASP) lebih rendah untuk produk wayar tergalvani disebabkan oleh perang harga. 

 

Oleh itu, katanya, kumpulan terbabit mempelbagaikan perniagaan wayarnya kepada pengguna akhir bagi menawarkan perkhidmatan nilai tambah, termasuk pengeluaran dawai keluli tergalvani dan pagar keselamatan tinggi dengan ciri khas, yang memperoleh margin keuntungan lebih tinggi.

 

“Bagaimanapun, sumbangan bahagian itu kepada keuntungan sebelum cukai (PBT) dijangka kekal kecil pada FY24 dan FY25 sementara ia menunggu pemberian kontrak daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” tambahnya.

 

TA Securities turut mendedahkan bahawa kumpulan itu akan menanggung kos pematuhan yang lebih tinggi untuk memenuhi tarif karbon dan keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti yang termaktub di bawah Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM).

 

Meskipun rangka kerja dan butiran dasar karbon Malaysia tidak diketahui pada masa ini, Chin Well merancang untuk memperuntukkan kira-kira RM10 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menaik taraf kemudahannya bagi mematuhi keperluan ESG, yang mana inisiatif ini sedang menunggu pengeluaran laporan pelepasan karbonnya menjelang akhir bulan ini.

 

Secara keseluruhan, TA Securities mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY24-26 dan saranan ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) RM1.11 sesaham.

 

Pada pukul 10:52 pagi ini, saham Chin Well telah menokok 2 sen atau 1.7% kepada RM1.21 dengan permodalan pasarannya bernilai RM362.4 juta. - DagangNews.com