Program Mentor Syariah SC sasar tingkatkan bilangan profesional syariah dalam pasaran modal Islam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program Mentor Syariah SC sasar tingkatkan bilangan profesional syariah dalam pasaran modal Islam

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah melancarkan Program Mentor Syariah untuk membina saluran bakat yang mampan bagi profesional syariah dalam pasaran modal Islam (ICM).

 

Program berbilang tahun yang dikelolakan oleh ISRA Consulting, anak syarikat Universiti INCEIF dan rakan strategik SC, memberi tumpuan kepada pembangunan profesional syariah yang cekap dengan tahap profesionalisme ditingkatkan, kecekapan teknikal dan kepakaran pengawalseliaan.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SC dalam membina ICM yang inovatif dan kompetitif, dengan pembangunan bakat sebagai pemacu utama untuk meluaskan bidang dan kedalaman ICM Malaysia.

 

“Kerjasama SC dengan ISRA Consulting menegaskan komitmen kami untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehan pengamal ICM dalam tadbir urus syariah, khususnya dalam memperkukuhkan syarat kemasukan dan program pembelajaran khusus bagi penasihat syariah,” katanya.

 

Beliau menambah bahawa program ini akan membantu peserta memperoleh pengetahuan relevan dan kecekapan teknikal, sambil menyokong pertumbuhan ICM di Malaysia.

 

Kohort pertama terdiri daripada 15 pemohon berjaya, yang akan menjalani pembelajaran kelas intensif selama dua bulan dan penempatan latihan industri selama enam bulan di organisasi terpilih.

 

Peserta juga akan menerima elaun bulanan sepanjang program tersebut, disokong oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF).

 

Sepanjang pembelajaran kelas dua bulan, peserta juga akan menerima bimbingan berstruktur dan pembelajaran daripada ahli Majlis Penasihat Syariah (SAC) SC dan pakar-pakar subjek dalam industri bagi memastikan mereka bersedia menggalas peranan penasihat syariah.

 

Secara keseluruhannya, lebih 40 profesional syariah dan graduan baharu dijangka menyertai program tersebut, yang akan berlangsung selama tiga tahun berturut-turut dengan setiap kohort terdiri daripada 15 peserta.

 

Kohort pertama menyaksikan sambutan luar biasa, dengan hampir 300 aplikasi diterima daripada graduan baharu dan juga mereka yang berpengalaman.  - DagangNews.com