Program i-SEE bantu MyB Innovation komersialkan kaki prostetik ke pasaran Indonesia | DagangNews Skip to main content

Program i-SEE bantu MyB Innovation komersialkan kaki prostetik ke pasaran Indonesia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan MyB Prosthetic Limb kepada penerima manfaat, Ahmad Fadhil Rushdan Abdul Rahim yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya (OKU).
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - MyB Innovation Sdn Bhd berjaya menghasilkan kaki prostetik berinovasi tinggi, MyB Prosthetic Limb, yang akan dikomersialkan ke pasaran Indonesia.

 

Sehubungan itu, MyB Innovation dan syarikat Indonesia, PT Yusuf Ortonesia Medika memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mengkomersialkan produk tersebut dengan unjuran jualan berjumlah RM1 juta pada tahun pertama.

 

MyB Prosthetic Limb mempunyai ciri-ciri inovatif seperti boleh dibengkokkan sehingga 180 darjah dan menawarkan keselesaan maksimum serta fleksibiliti untuk mereka yang mengalami amputasi anggota di bawah lutut.

 

Berbeza daripada kaki palsu konvensional yang penggunaannya terhad kepada berdiri dan berjalan, kaki prostetik baharu ini membolehkan pergerakan buku lali sekali gus menjadikannya ideal untuk aktiviti seperti sujud dan yoga.

 

Menurut kenyataan bersama, MyB Innovation telah menerima geran yang diluluskan sebanyak RM191,859 di bawah Program Ekosistem Inklusif PMKS (i-SEE) oleh SME Corp Malaysia melalui Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

 

 

nnn
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Datuk Nainy (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Dr. Sharmila Mohamed Salleh (kanan sekali) bersama penerima manfaat serta inovator MyB Prosthetic Limb, Prof. Madya Dr. Mohd Yazid Bajuri (kiri sekali).

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata Program i-SEE menawarkan bantuan geran maksimum sehingga RM200,000 untuk setiap inovator atau usahawan.

 

"Sejak tahun 2021, sebanyak 40 kelulusan dengan geran berjumlah RM5.52 juta telah diberikan. 

 

"Program i-SEE ini merupakan kesinambungan kepada Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) di bawah Pelan Induk PKS (2012-2020) iaitu Program Inovasi Inklusif yang telah dilaksanakan dari tahun 2016 hingga 2020 dengan 62 kelulusan bernilai RM13.84 juta”.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, sebagai rakan strategik YIM telah memainkan peranan signifikan sebagai agensi pelaksana bagi program i-SEE yang melibatkan 40 inovator dari tahun 2021 sehingga kini. 

 

"Program i-SEE bertujuan menggalakkan pembangunan inovasi produk yang boleh memperkasakan kumpulan B40, luar bandar, belia, pesara, wanita, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU). 

 

"Ia menyediakan bantuan kewangan kepada inovator atau usahawan bagi membantu kumpulan sasar dan menggalakkan transformasi komuniti menerusi bimbingan dan sokongan teknikal," katanya.- DagangNews.com