Produktiviti buruh Malaysia susut 1.1% pada suku kedua 2023 – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Produktiviti buruh Malaysia susut 1.1% pada suku kedua 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Produktiviti buruh Malaysia, yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per jam bekerja, menurun 1.1% dengan jumlah jam bekerja meningkat 4% mencatatkan 9.3 bilion jam pada suku kedua 2023 (2Q23), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Mengulas mengenai Statistik Produktiviti Buruh Malaysia Suku Kedua 2023, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia berkembang sederhana 2.9%, menunjukkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding kadar pertumbuhan suku pertama 2023 (1Q23) sebanyak 5.6%.

 

“Bilangan pekerjaan meningkat kepada 16.1 juta orang, atau pertumbuhan 2.8% tahun ke tahun berbanding pertumbuhan 3.1% dalam suku pertama,” katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai prestasi produktiviti buruh, beliau berkata dari segi nilai, produktiviti buruh setiap jam bekerja pada suku kedua tahun ini ialah RM40.6 berbanding RM41.2 dalam suku pertama.

 

“Manakala, produktiviti buruh diukur sebagai nilai ditambah bagi setiap pekerja menunjukkan peningkatan marginal sebanyak 0.02% merekodkan RM23,407 berbanding 2.4% atau RM23,718 per pekerja pada suku pertama 2023,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Dari segi prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah setiap jam bekerja, dua sektor mencatatkan kenaikan didahului sektor pembinaan pada 3.5% berbanding 6.5% dalam suku pertama tahun ini dan diikuti sektor perkhidmatan sebanyak 0.1% berbanding 2.8% sebelumnya.

 

 

dfgd

 

 

Manakala tiga sektor mencatatkan penurunan, iaitu perlombongan dan pengkuarian pada 6.7% (1Q23: 1.6%), pembuatan pada 3.9% (1Q23: 0.2%), dan pertanian pada 2.9% (1Q23: 0.8%).

 

Dari segi prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah setiap pekerja, pertumbuhan sektor pembinaan adalah 5.2% berbanding 6.7% dalam suku pertama tahun ini, diikuti sektor perkhidmatan pada 1% daripada 3.1% sebelumnya.

 

Manakala tiga sektor iaitu perlombongan & pengkuarian,  pembuatan dan pertanian masing-masing menurun tahun ke tahun sebanyak 3% (1Q23: 1.9%), 2.6% (1Q23: 0.7%) dan 1.3% (1Q23: 0.1%).

 

Merumuskan kenyataan beliau, Mohd Uzir berkata, “Walaupun pertumbuhan ekonomi dijangka sederhana tahun ini, produktiviti buruh dijangka mencatatkan prospek yang lebih baik.” - DagangNews.com