Produk tokotrienol sawit Malaysia kini dibenar memasuki pasaran China - MPOB | DagangNews Skip to main content

Produk tokotrienol sawit Malaysia kini dibenar memasuki pasaran China - MPOB

Tokotrenol sawit ialah bahan nutraseutikal/makanan semula jadi dan selamat yang memberi kesan baik kepada kesihatan dalam memerangi penyakit tidak berjangkit. - Gambar hiasan media sosial
Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 4 April - China secara rasmi meluluskan pendaftaran produk tokotrienol sawit pada 13 Mac lalu yang merupakan pengiktirafan Republik itu terhadap kualiti dan piawaian keselamatan produk sawit Malaysia.

 

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), berikutan pengumuman ini, tokotrienol sawit kini dibenarkan untuk dieksport dan digunakan dalam makanan di China.

 

"Pencapaian ini membuktikan komitmen dan usaha berterusan sektor minyak sawit Malaysia dalam mematuhi piawaian kesihatan dan keselamatan antarabangsa. 

 

"Ini juga merupakan contoh kerjasama strategik antara badan kerajaan dan pemain industri dalam mengemudi kerumitan akses pasaran global dan kelulusan peraturan," kata MPOB dalam kenyataan hari ini.
 

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir menggesa pemain industri mengambil peluang untuk mengeksport tokotrienol ke China dengan potensi mengukuhkan kehadiran di salah satu pasaran terbesar dunia.

 

“Kelulusan ini merupakan salah satu hadiah terbesar oleh Kerajaan China kepada industri sawit Malaysia.

 

"Ini sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, sebagai simbol persahabatan yang erat dan berkekalan serta saling menghormati dan bekerjasama,” katanya.

 

Memetik laporan media sebelum ini, tokotrenol sawit ialah bahan nutraseutikal/makanan semula jadi dan selamat yang memberi kesan baik kepada kesihatan dalam memerangi penyakit tidak berjangkit.

 

Penyelidik MPOB menjelaskan, dalam minyak sawit, 70 peratus komposisi vitamin E adalah tokotrienol, manakala 30 peratus adalah tokoferol.

 

Saiz pasaran global produk tokotrienol bernilai AS$321.5 juta pada 2018 dan nilai potensi tokotrienol pada 2025/2026 dijangka mencecah AS$522 juta

 

Sementara itu, kata MPOB, kelulusan pendaftaran produk tokotrienol sawit bukan sahaja membuka jalan baharu bagi industri sawit Malaysia menembusi pasaran China tetapi juga berpotensi membawa impak positif terhadap ekonomi Malaysia. 

 

Katanya, peningkatan eksport tokotrienol ke China boleh menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemampanan sektor pertanian.

 

"MPOB bersama pemain industri sawit Malaysia komited memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan kebolehlihatan dan penerimaan produk minyak sawit Malaysia di China dan pasaran lain bagi memastikan pertumbuhan dan kelestarian industri yang berterusan," jelasnya.

 

Tambah agensi itu, penghargaan khusus harus diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof atas peranan beliau membantu pencapaian ini. 

 

Kata MPOB, semasa lawatan rasminya ke China pada November 2023, beliau telah membawa isu pendaftaran tokotrienol ketika sesi pertemuan dengan rakan sejawatnya di China. 

 

"Ini menunjukkan hubungan diplomatik dan perdagangan yang erat antara Malaysia dan China, memacu pertumbuhan dan pembangunan bersama dalam sektor minyak sawit," katanya.- DagangNews.com