Produk halal carian paling tinggi dalam platform Shopee sepanjang Ramadan, Hari Raya 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Produk halal carian paling tinggi dalam platform Shopee sepanjang Ramadan, Hari Raya 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Mei - Produk berkaitan halal dengan kata kunci seperti 'buatan muslim' dan 'produk halal' merupakan carian paling tinggi dengan 671,000 carian di platform Shopee sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

 

Platform e-dagang itu dalam kenyataan hari ini berkata, ia juga merupakan lebih 100% peningkatan dalam carian berbanding 2022 apabila kata kunci yang sama dicari lebih 325,000 kali.

 

Katanya, Shopee terus melihat trend peningkatan ke arah tingkah laku membeli-belah berasaskan nilai dengan peningkatan dua kali ganda carian yang mengandungi kata kunci seperti 'mesra alam', 'halal' dan 'mampan' pada 2023 berbanding tempoh sama tahun lepas.


 
"Tingkah laku membeli-belah berasaskan nilai juga diperhatikan dalam pemberian hadiah dan ketika pengguna menyediakan kediaman mereka untuk Hari Raya. 

 

"Memandangkan pemberian hadiah adalah budaya biasa semasa musim Hari Raya, carian untuk pembalut hadiah yang lebih tradisional juga menyaksikan peningkatan 1.9 kali ganda. 

 

"Kata kunci seperti 'bakul rotan', 'kain batik' dan 'kain sarung' telah digunakan lebih 61,000 kali pada 2023 berbanding tahun sebelumnya. Ini sejajar dengan trend kotak hadiah raya berinspirasikan batik yang bermula pada 2021 dan terus menjadi lebih popular tahun ini," katanya.

 

Dalam pada itu, Ketua Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, membeli-belah berasaskan nilai adalah mengenai menyokong produk buatan Malaysia dalam komuniti yang kurang mendapat layanan, dan selalunya penjual luar bandar menyediakan perkhidmatan hebat.

 

 

shopee
                                                                             Kenneth Soh

 

 

"Di Shopee, kami terus berinovasi, menjadikan beli-belah dalam talian diperibadikan, menarik, hiper-lokal dan mudah diakses melalui teknologi dan data dalaman," katanya.

 

Pencarian produk halal dan berasaskan nilai berjalan seiring kerana pengguna lebih menyokong penjual tempatan di luar bandar besar. 

 

Lima bandar teratas adalah Hulu Langat, Gombak, Selangor; Seremban, Negeri Sembilan; Kinta, Perak dan Melaka Tengah, Melaka berdasarkan barangan yang dijual, mempamerkan semangat #ShopeeSapotLokal yang sebenar.

 

Sementara itu, dengan sifat mesra rakyat Malaysia dan rumah terbuka menjadi budaya popular, pengguna Shopee memilih peralatan rumah yang lebih pintar untuk menjadikan rumah mereka lebih selesa untuk tetamu yang berkunjung. 

 

 

shopee

 

 

Namun pada tahun ini, keselesaan turut dikaitkan dengan penjimatan tenaga apabila kata kunci seperti 'inverter aircond', 'LED bulb', 'mentol LED', 'mesin basuh jimat air', 'mesin basuh mesra alam', dan 'peti sejuk jimat elektrik' dicari lebih 76.8% daripada tahun lepas.

 

Carian untuk produk pembersihan juga meningkat sejajar dengan permintaan untuk rumusan yang lebih semula jadi. 

 

Istilah carian seperti 'Pembersihan semula jadi', 'pencuci semula jadi', 'pencuci rumah mesra alam', 'pencuci lantai mesra alam', 'bekalan pembersihan buatan sendiri', 'pencuci buatan sendiri', 'pembersih rumah bebas bahan kimia' dan 'pencuci bebas kimia' meningkat popular tahun ini sebanyak 1.3 kali ganda. - DagangNews.com