Prestasi paling kukuh PMI 'rosak' akibat COVID-19 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi paling kukuh PMI 'rosak' akibat COVID-19

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Wabak COVID-19 yang kian menular menjadi punca kepada penyusutan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit pada Mei.

 

Indeks berkenaan susut kepada 51.3 pada Mei 2021 berbanding paras tertinggi 53.9 pada April.

 

Penyusutan yang dicatatkan pada Mei itu sekali gus merosakkan PMI Malaysia yang mencatatkan pengembangan dan prestasi paling kukuh pada April sejak kajian tersebut bermula pada Julai 2012.

 

MIDF Research berkata, tahap berkenaan memberi gambaran kesan daripada sekatan yang lebih ketat bagi membendang jangkitan COVID-19 pada bulan berkenaan.

 

 

"Penurunan PMI mencerminkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam aspek pesanan baharu, output dan penjualan eksport.

 

"Bagi bulan kedua berturut-turut, pekerjaan dalam sektor ini juga sedikit menurun.

 

"Bagi negara seperti Malaysia, sekatan yang lebih ketat serta lanjutan tempoh 'lockdown' dilihat menjadi faktor yang menyebabkan sentimen menjadi lemah sekali gus mengakibatkan aktiviti pengeluaran perlahan dalam tempoh terdekat," jelas MIDF Research.

 

Selain Malaysia, negara lain seperti Taiwan, Korea Selatan dan Jepun turut mengalami penurunan PMI.

 

Syarikat perkilangan di luar negara turut menekankan kepada cabaran dalam meningkatkan harga input, kekurangan bahan serta langkah baharu ekonomi dalam membendung wabak berkenaan.

 

"Secara keseluruhan, kami meramalkan perkembangan dan permintaan eksport akan terus menyokong prospek sektor berkenaan.

 

"Bagaimanapun, kejayaan untuk membendung wabak dan pelonggaran sekatan akan menjadi lebih utama dalam menyokong peningkatan aktiviti sektor pembuatan menjelang akhir tahun ini," ujar MIDF Research. - DagangNews.com