KUALA LUMPUR 29 Nov - Prestasi LGMS Berhad pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) di bawah jangkaan Kenanga Research dengan merangkumi hanya 54% daripada anggaran tahun penuh firma dan konsensus.
Oleh itu, firma penyelidikan tersebut mengurangkan unjuran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 (FY23-24) masing-masing sebanyak 28% dan 13%.
Ia mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah 12% kepada RM1.16 sesaham berbanding RM1.32 sebelumnya.
Mengulas lanjut, Kenanga Research berkata keuntungan bersih kumpulan itu bagi 9MFY23 turun 17% ekoran peningkatan jumlah pekerja sebagai persediaan untuk pengembangan masa depan, di mana ia sedang menjajarkan semula portfolionya untuk mengoptimumkan sumber.
Sementara itu, pendapatan LGMS berjumlah RM7.5 juta, susut 16.7% tahun ke tahun (YoY) dalam tempoh tersebut terutamanya akibat kos jualan yang lebih tinggi mengatasi pertumbuhan pendapatan.
“Kami difahamkan bahawa kumpulan itu kini dalam fasa pertumbuhannya, di mana kos yang ditanggung (iaitu, peningkatan jumlah pekerja dan sumber IT) adalah penting untuk kesediaan masa hadapan. Oleh itu, penilaian suku tahunan mungkin kadangkala gagal memberikan gambaran yang jelas.
“Sebagai contoh, pertumbuhan pendapatan yang perlahan dalam tempoh terdekat adalah sementara, kerana kumpulan itu telah memulakan perjalanan untuk menjajarkan semula portfolionya, mengoptimumkan peruntukan sumber bagi mencapai pengiktirafan pendapatan yang lebih baik pada masa hadapan,” jelasnya dlaam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, Kenanga Research berkata LGMS telah memperkenalkan "StarSentry" (nama kod: Project Mars), peranti plug-and-play yang bersambung dengan lancar ke rangkaian pengguna, secara autonomi menganalisis semua peranti untuk mencari kelemahan.
Disesuaikan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mencari penyelesaian keselamatan yang kos efektif dan mudah, firma itu berkata produk ini bersedia untuk menyumbang secara positif kepada kumpulan, dengan impak lebih bermakna dalam FY24.
“Oleh yang demikian, kami mengekalkan pandangan positif terhadap syarikat dan ruang keselamatan siber yang beroperasi di dalamnya,” tambahnya.
Pada pukul 11:32 pagi ini, saham LGMS merosot 4 sen atau 3.9% kepada 98 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM446.9 juta. - DagangNews.com








