Prestasi kewangan memenuhi jangkaan, CGS-CIMB kekal saranan 'pegang' terhadap Duopharma | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kewangan memenuhi jangkaan, CGS-CIMB kekal saranan 'pegang' terhadap Duopharma

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Feb - CGS-CIMB Research mengunjurkan pendapatan sesaham (EPS) Duopharma Biotech Bhd. akan berkembang kukuh sebanyak 19% pada tahun kewangan 2022 (FY22) sebelum menyederhana kepada 4% pada FY23. 

 

Unjuran EPS ini bagaimanapun kembali meningkat kepada 10% pada FY24, menurut penganalisisnya, Sherman Lam Hsien Jin dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, firma tersebut mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Duopharma dengan harga sasaran pada RM1.60.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Duopharma mencatatkan peningkatan hasil pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 dengan peningkatan 8.5% kepada RM145.44 juta, walaupun menghadapi cabaran kos yang lebih tinggi.

 

Pada suku tersebut, keuntungan selepas cukai ialah RM15.72 juta, yang menghasilkan EPS sebanyak 1.67 sen.

 

Bagi tempoh setahun, keuntungan bersih meningkat 12.07% kepada RM65.68 juta, manakala hasil meningkat 12.16% kepada RM639.18 juta.

 

Hsien Jin berkata, keputusan kewangan FY21 adalah sejajar dengan unjuran firma tersebut meskipun EPS teras bagi suku keempat susut 10% tahun ke tahun disebabkan margin yang lebih rendah.

 

Beliau mendapati Duopharma menjana hasil antara RM2 hingga RM3 juta daripada pengedaran 50,000 dos vaksin COVID-19 Sinopharm kepada pasaran swasta pada separuh kedua 2021 berbanding anggarannya sebanyak RM5 juta.

 

"Walaupun vaksin Sinopharm boleh diberikan sebagai suntikan penggalak atau siri utama untuk kanak-kanak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, tetapi kami menganggarkan sumbangan pendapatan daripadanya mungkin minimum (margin rendah) untuk Duopharma," katanya.

 

Dalam pada itu, kumpulan juga masih mendapatkan penjelasan mengenai syarat tertentu kontrak 3 tahun, RM375 juta untuk membekalkan formulasi insulin Insugen kepada kerajaan (berkuat kuasa 17 Disember 2021). 

 

"Sekiranya ini disahkan, ia boleh menjana kira-kira RM125 juta sumbangan hasil setahun dalam tempoh FY22 hingga FY24, yang mana kami telah ambil kira dalam unjuran kami," tambahnya.

 

Setakat 10.25 pagi ini, harga saham Duopharma menokok 1 sen atau 0.63% kepada RM1.61 dengan 175,900 saham diniagakan. - DagangNews.com