Prasarana mula papar MKBF kepada umum sebagai inisiatif pantau, jejak perkhidmatan rel dan bas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prasarana mula papar MKBF kepada umum sebagai inisiatif pantau, jejak perkhidmatan rel dan bas

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mei - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melancarkan inisiatif untuk memantau dan menjejaki Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) bagi perkhidmatan rel dan bas mulai hari ini.

 

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke berkata laporan tersebut merupakan sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Prasarana yang sebelum ini disediakan setiap minggu kepada kementeriannya kini dibuka kepada umum setiap bulan untuk meningkatkan ketelusan dan kebolehpercayaan perkhidmatan.

 

“Ia adalah penanda aras yang digunakan untuk mengukur perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel. Matlamatnya adalah untuk beroperasi tanpa kegagalan atau gangguan teknikal untuk jarak yang disasarkan,” kata beliau dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Prasarana hari ini.

 

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Azharuddin Mat Sah.

 

Selain itu, Prasarana juga akan memaparkan maklumat terkini mengenai penumpang, faktor muatan, kebolehpercayaan perkhidmatan, ketersediaan perkhidmatan dan kemudahan stesen perkhidmatan rel dan bas masing-masing di bawah Rapid Rail dan Rapid Bus pada setiap minggu.

 

Anthony menegaskan bahawa Prasarana perlu memberi tumpuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya terhadap pengguna pengangkutan awam, di mana kementerian telah menetapkan piawaian yang tinggi terhadap barisan pengurusan syarikat.

 

Mohd Azharuddin Mat Sah berkata Prasarana mengiktiraf kepentingan ketelusan dan kebolehpercayaan bagi membina kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan pelanggan.

 

“Dengan menjejaki MKBF, kami boleh menyediakan penumpang dengan maklumat yang jelas dan padat tentang prestasi perkhidmatan berkaitan, termasuk kekerapan dan tempoh gangguan serta langkah yang diambil untuk menanganinya,” katanya.

 

Azharuddin berkata Prasarana menetapkan sasaran untuk mencapai MKBF sejauh 1 juta kilometer (km) bagi LRT Laluan Kelana Jaya (KJL), LRT Laluan Ampang (AGL) dan MRT Laluan Kajang (KGL), manakala MBKF sejauh 150 ribu km untuk Monorel (MRL) menjelang suku ketiga tahun 2026.

 

Beliau menambah sasaran MBKF sejauh 1 juta km yang ditetapkan itu adalah setanding dengan pengendali rel utama di seluruh dunia. -DagangNews.com