IPOH 25 Julai - Potensi ekonomi di negeri ini khususnya bandaraya Ipoh untuk menarik minat pelabur-pelabur luar meneroka peluang kembali mendapat perhatian sebaik memasuki fasa endemik.
Terbaharu, kehadiran 100 orang usahawan dari negara jiran Singapura menunjukkan perkembangan baik dalam memacu kembali sektor ekonomi di sini.
Persamaan dalam beberapa aspek antara masyarakat dua negara itu seperti budaya, makanan, komunikasi dan persekitaran memudahkan lagi hubungan terjalin.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kunjungan tersebut merupakan indikator yang baik bagi sektor ekonomi di bandar raya Ipoh khususnya.
“Kita menunggu dan melihat apa yang ingin dirancang menerusi peluang-peluang perniagaan yang mereka lihat sendiri di sini. Berpandukan beberapa pembentangan, kita bakal memfokuskan pada industri digital selain dari peluang perniagaan hartanah, dan pelancongan," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Makan Malam Sesi Rangkaian Bond Holdings - SOEN (Spotlight On Entrepreneurs ) di Hotel Weil, di sini baru-baru ini.
Hadir sama bekas Ahli Parlimen Singapura, Muhamad Amrin Muhamad Amin; Ketua Pegawai Eksekutif Bond Holdings, Ong Teng Boon dan Pengasas SOEN, Joseph Chong.

Pada majlis tersebut, Rumaizi turut menandatangani Pelaburan Rentas Sempadan Singapura-Ipoh bagi pembelian 10 unit Bond Suites, Ipoh dengan Ketua Eksekutif Ello Fintech, Steven Lau.
Pelaburan syarikat dari negara Kota Singa itu melibatkan nilai sebanyak RM6.8 juta.

Bond Suites yang terletak di pusat bandaraya Ipoh serta di atas Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) merupakan kediaman apartmen mewah serta eksklusif.
Kedudukannya strategik kerana dikelilingi kemudahan perbankan, pusat membeli-belah serta berhampiran stesen pengangkutan awam termasuk Stesen Keretapi Ipoh.
Terdahulu, telah berlangsung Sesi Rangkaian Bond Holdings - SOEN bersama Tourism Perak yang diterajui oleh Ketua Eksekutifnya, Nurmalis Musa.
Ia bagi membincangkan sesi kunjungan Tourism Perak ke Singapura pada bulan hadapan bagi menjayakan satu koloberasi perniagaan. - DagangNews.com








