PM sifatkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 khabar gembira buat negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM sifatkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 khabar gembira buat negara

Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 edisi ke-34. - Gambar Harian Metro
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mei - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah edisi ke-34 Sukan SEA 2027 merupakan khabar gembira buat negara.

 

Perdana Menteri menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau hari ini berkata, ia merupakan kali ketujuh Malaysia menjadi tuan rumah dan pastinya banyak persiapan perlu dilakukan untuk memastikan kelancaran temasya dwi-tahunan itu.

 

"Khabar gembira buat negara, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 ke-34. 

 

"Ini merupakan kali ketujuh, kita menjadi tuan rumah dan pastinya banyak persiapan perlu dilakukan untuk memastikan kelancaran temasya dwi-tahunan ini," katanya.

 

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada atlet badminton negara kerana berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Piala Thomas selaku juara Kumpulan D selepas menewaskan Jepun di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

 

"Bangga dengan atlet Malaysia yang berentap dalam Piala Thomas!

 

 

PM
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Tahniah atlet badminton Piala Thomas kerana berjaya melangkah ke pusingan suku akhir selaku juara Kumpulan D selepas tewaskan Jepun di Impact Arena, Bangkok," katanya.

 

Beliau turut menasihati para atlet supaya meneruskan semangat juang untuk menjulang dan membawa pulang Piala Thomas yang berprestij itu. - DagangNews.com