PM seru badan korporat menyumbang program SULUNG | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM seru badan korporat menyumbang program SULUNG

Foto - Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

BATU PAHAT 18 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru badan-badan korporat untuk sama-sama menghulurkan sumbangan bagi membantu menjayakan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) dalam usaha membantu pelajar B40 melanjutkan pelajaran ke universiti. 

 

Beliau berkata, program itu unik kerana mereka bukan sahaja akan dibantu diberikan laluan khusus kemasukan ke universiti awam, tetapi turut ditawarkan biasiswa, asrama, dan diberikan tunjuk ajar, sehinggalah mereka berjaya mendapat pekerjaan.

 

Beliau juga berkata, program tersebut turut membantu pelajar B40 yang ahli keluarga mereka belum ada seorang pun yang pernah menjejakkan kaki ke menara gading.

 

"Menjadi harapan saya agar dengan tahap pendidikan yang baik, kelak akan membawa anak-anak ini keluar dari kitaran B40, seterusnya dapat berdikari selepas tamat pengajian. Kejayaan mereka ini nanti bukan sahaja memberikan motivasi kepada keluarga, tetapi juga kepada komuniti setempat," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Keluarga Malaysia di Dewan Seri Mahkota Maktab Rendah Sains Mara di sini, hari ini.

 

Menurut Ismail Sabri, program SULUNG yang digerakkan oleh Ahli Parlimen Parit Sulung, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang juga Menteri Pengajian Tinggi adalah julung kali diadakan.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mengetengahkan nilai kebersamaan menerusi konsep Keluarga Malaysia dan dalam konteks pengajian tinggi nilai itu diterjemahkan menerusi pelbagai bentuk inisiatif. 

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Beliau berkata, ia bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dirasai semua lapisan masyarakat, terutamanya dalam kalangan keluarga B40. 

 

"Selain menyediakan fasiliti pendidikan tinggi seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti, kerajaan juga sedaya upaya memastikan pelajar-pelajar dapat mengikuti pengajian mereka dengan lebih selesa. 

 

"Ia dapat dilihat daripada pelbagai bantuan yang diberikan. Ia diterjemahkan seperti bantuan kewangan, bantuan pelan data dan peranti, pengurangan yuran, bantuan makanan dan sebagainya," katanya.

 

Katanya, bukan sahaja bantuan seperti kewangan, pelan data dan pengurangan yuran, malah kerajaan turut membantu memastikan para pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian nanti. - DagangNews.com