KUALA LUMPUR 20 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) meneroka peluang baharu dengan menghasilkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang mampu dimiliki Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran elektrik menggunakan sumber tenaga yang bersih serta penyediaan stesen pengecas kenderaan elektronik yang secukupnya.
Beliau berkata, kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk memperkenalkan kadar caj yang mampu dilanggani oleh semua.
Malah katanya, syarikat telekomonikasi negara seperti Telekom Malaysia juga dapat membuka kerjasama dengan kedua-dua pihak tersebut untuk menyediakan pakej data yang mampu memudahkan para pengguna untuk membuat tempahan caj kenderaan secara dalam talian.
"Kerjasama pintar seperti ini perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi kesan perubahan iklim yang melanda dunia. Malah, perjanjian seperti ini dapat menjamin kelestarian dan pembangunan negara yang mampan.
"Kerajaan pula sedia berbincang dengan pihak swasta untuk memastikan dasar atau initiatif yang diperkenalkan bersesuaian dengan hala tuju negara.
"Saya juga baru-baru ini telah meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terletak dalam wilayah High-tech Valley untuk membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automative Research and Training (CAART)," katanya ketika berucap melancarkan Perodua Alza serba baharu, di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, negara kini berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global seperti krisis geopolitik dan perubahan iklim.
Beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi menghadapi cabaran tersebut, namun usaha ini tidak boleh dilakukan secara sendirian tanpa kerjasama dengan pihak swasta bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara.
"Justeru, saya ingin menyeru agar syarikat-syarikat besar negara untuk saling bekerjasama dalam mencapai lebih banyak kejayaan untuk dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia," katanya.
Ismail Sabri berkata, kerjasama seperti ini dapat membantu mencapai matlamat karbon neutral di Malaysia pada tahun 2050, sepertimana yang telah dipersetujui di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dalam pada itu, beliau amat tertarik dengan ciri-ciri canggih yang ada pada Perodua Alza baharu dengan penambahbaikan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatil.
"Saya percaya model baharu ini akan diterima baik oleh seluruh Keluarga Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan aspek keselamatannya dipertingkatkan sesuai dengan aspek pemanduan di Malaysia," katanya.
Perodua Alza serba baharu dijual secara rasmi pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk varian AV (harga di Malaysia Barat dan tanpa insuran).
Bagi mereka yang menempah Perodua Alza serba baharu pada atau sebelum 30 Jun 2022 dan menerima kenderaan mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023 akan menikmati harga yang lebih rendah kerana mereka layak untuk inisiatif pengecualian cukai jualan.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa semua kenderaan yang ditempah pada atau sebelum 30 Jun masih boleh menikmati inisiatif pengecualian cukai jualan selagi kenderaan mereka didaftarkan pada atau sebelum 31 Mac 2023. - DagangNews.com








