PM saksi pemeteraian 3 MoU syarikat Malaysia, rakan kongsi di Bangkok | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM saksi pemeteraian 3 MoU syarikat Malaysia, rakan kongsi di Bangkok

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat farmaseutikal Malaysia dan rakan kongsi mereka dari Thailand

BANGKOK 25 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat farmaseutikal Malaysia dan rakan kongsi mereka dari Thailand, bagi meningkatkan pengeluaran dan inovasi industri berkenaan.

 

MoU membabitkan antara anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) bersama BioNet, selain Pharmaniaga Research Centre Sdn Bhd (PRC) bersama Bio-Innova.

 

Turut dimeterai perjanjian pengeluaran berlesen antara COVID Medicare Support Ins (CMSI) dan Acquest Laboratory.

 

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu meningkatkan usahanya untuk menjadi antara pemain farmaseutikal utama rantau ini dengan menjalin perkongsian bersama BioNet Group (BioNet) bagi pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan Bio-Innova Co Ltd (Bio-Innova) untuk penyelesaian bioequivalence serta inovasi pembangunan produk farmaseutikal.

 

Menerusi pemeteraian MoU itu, katanya PLS dan BioNet akan berfungsi sebagai asas dalam membentuk rangka kerja untuk bertukar maklumat dan pengetahuan bagi memudahkan pendaftaran, pembuatan, pembekalan dan pemasaran pelbagai produk siap dan antigen pukal bagi produk biofarmaseutikal, terutamanya vaksin.

 

Sementara itu, PRC memeterai kerjasama strategik bersama Bio-Innova untuk meneroka peluang memanfaatkan kepakaran saintifik Bio-Innova dalam kajian bioavailability dan bioequivalence serta membina kapasiti dalam pembangunan produk.

 

Pengerusi Pharmaniaga, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique berkata, perkongsian itu sejajar perubahan landskap pasaran yang memerlukan pemain kekal kompetitif dan relevan.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Majlis Sambutan Rasmi Lawatan Perdana Menteri di Government House hari ini - Foto Bernama

 

 

"Kita perlu sentiasa berinovasi dan menambah baik kualiti, jadi kerjasama ini memainkan peranan penting untuk meningkatkan lagi dan merangsang industri farmaseutikal Malaysia serta membuka lebih banyak peluang," katanya.

 

Pemeteraian perjanjian pembuatan antara CMSI dan Acquest Laboratory pula untuk mengesahkan syarikat itu sebagai pengeluar produknya bagi pasaran Thailand.

 

Sementara itu, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan ahli Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) untuk berkongsi pengalaman dan membincangkan isu perniagaan di Thailand, lapor Bernama.

 

Yang turut hadir ialah Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan Pengerusi MTCC, Dr Hwee Khim Boo.

 

Sesi libat urus antara kerajaan dan Lembaga Pengarah MTCC dan ahli terpilih itu bertujuan untuk bertukar maklumat dan bertemu secara bersemuka bagi membincangkan perkara bermanfaat demi pertumbuhan pemilihan perniagaan antara Malaysia dan Thailand.

 

Sesi itu juga memberikan pandangan bernilai mengenai dinamik perniagaan dan industri di Thailand yang berguna kepada negara untuk mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia. - DagangNews.com