KUALA LUMPUR 11 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bertemu jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Muar di Dewan Tun Sulaiman, Bangunan UMNO Muar bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kemenangan BN dalam PRN Johor adalah bergantung kepada kekuatan jentera parti.
Beliau berkata, jentera BN sentiasa bersedia dan terus diperkemaskan untuk memastikan kemenangan demi kestabilan rakyat dan negeri Johor.
"Paling penting ialah kita tidak berpecah. Dalam sesebuah perjuangan, elakkanlah perang saudara.
"Sentiasa bersatu hati kerana fokus kita adalah untuk mencapai satu matlamat iaitu kemenangan," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Perdana Menteri berkata, beliau membawa semangat Keluarga Malaysia pada pilihan raya itu dan ia bukanlah semangat baru, tetapi semangat BN yang hampir sama dengan konsep Keluarga Malaysia.

"Ayuh kita bersama-sama dalam memastikan kemenangan BN demi rakyat dan semua bangsa yang kita cintai," katanya. - DagangNews.com


