PM kecewa majikan tawar gaji tidak setimpal dengan kelayakan pekerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM kecewa majikan tawar gaji tidak setimpal dengan kelayakan pekerja

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kecewa dengan tindakan segelintir majikan yang menawarkan gaji tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan serta kerja yang dilakukan anak-anak tempatan.

 

Ismail Sabri berkata, sehingga Julai 2022, berdasarkan statistik MYFutureJobs lingkungan gaji bagi kekosongan jawatan yang paling banyak ditawarkan di seluruh negara adalah antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan.

 

Beliau turut mengingatkan bahawa mulai 1 Mei 2022, gaji minimum seseorang pekerja ialah RM1,500 bagi keselesaan hidup Keluarga Malaysia.

 

Jelasnya, bagi menangani ketidakpadanan itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) digesa berunding dengan pihak majikan dan wakil-wakil pekerja bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah itu. 

 

"Sehubungan itu, saya meminta supaya pihak majikan mengambil serius mengenai perkara ini kerana pekerja merupakan tunjang utama dalam mana-mana organisasi; yang mana mereka boleh ‘make or break’ sesuatu perniagaan.

 

"Malah, platform ‘tripartite’ Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru bagi mencapai kata sepakat demi kesejahteraan semua Keluarga Malaysia.

 

"Saya ingin menyeru kepada para majikan termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta supaya menyediakan peluang kerja dan insentif terbaik untuk pencari kerja," katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

 

Terdahulu, ekspo tersebut menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan daripada 1,000 majikan pelbagai sektor.

 

Menurut Perdana Menteri, sehingga 18 Julai 2022, program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia.

 

Namun katanya, disebabkan suasana dunia yang tidak menentu, kerajaan melanjutkan tempoh program JKIP yang berakhir pada 30 Jun 2022, kepada 31 Disember 2022.

 

"Lanjutan Program JKIP ini akan menumpukan kepada pengambilan pekerja dalam kategori mudah terjejas seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, individu yang hilang pekerjaan, pekerja dalam sektor pelancongan dan bekas banduan," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik 1 April 2022, ekonomi negara beransur pulih dan kadar pengangguran menurun pada kadar 3.9% pada April 2022, dengan bilangan penduduk bekerja direkodkan seramai 15.85 juta orang.

 

Beliau berkata, perkembangan ini merupakan hasil pelaksanaan inisiatif kerajaan menerusi kerjasama merentasi kementerian-kementerian, agensi-agensi pelaksana dan industri, sekali gus berhasil membantu menempatkan lebih 558,000 pekerja pada tahun lalu.

 

"Namun keadaan ketidaktentuan dunia akibat krisis geopolitik dunia dan perubahan iklim global telah menjejaskan rantaian bekalan bahan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang. Ini memberi kesan kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia yang terpaksa meniti cabaran ini yang turut menjejaskan sektor pekerjaan," katanya.

 

Beliau berkata, bagi menepis tempias cabaran yang dihadapi Keluarga Malaysia, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif termasuk menganjurkan ekspo kerjaya ini yang seharusnya dimanfaatkan pencari kerja dan para majikan.

 

Tambahnya, dengan gabungan lima elemen utama iaitu, majikan, pekerja, ekonomi gig, keusahawanan dan perusahaan sosial, ekspo kerjaya ini benar-benar memberikan solusi kerjaya yang lengkap kepada rakyat Malaysia. - DagangNews.com