PM beri jaminan kebebasan badan kehakiman, legislatif terus dipelihara | DagangNews Skip to main content

PM beri jaminan kebebasan badan kehakiman, legislatif terus dipelihara

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - Gambar PMO
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memberi jaminan kebebasan badan kehakiman dan legislatif akan terus dipelihara.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang membantu institusi itu melaksanakan transformasi bagi memastikan badan legaslatif dapat berfungsi dengan sempurna, antaranya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 bagi memberi kebebasan kepada Parlimen. 

 

Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan apa yang telah diambil oleh Parlimen lain di peringkat antarabangsa. 

 

"Dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, tiga institusi penting menjadi tiang seri iaitu badan Legislatif atau Parlimen, Eksekutif atau kerajaan dan Kehakiman. 

 

"Ketiga-tiga institusi ini mempunyai peranan masing-masing dan kita perlu menghormati setiap badan ini. Setiap dasar yang digubal oleh kerajaan berpaksikan roh dan semangat kebersamaan dengan mengambil kira kepentingan setiap agama, kaum dan seluruh Keluarga Malaysia.

 

"Begitu juga undang-undang yang dilulus oleh Dewan Rakyat, ia dibahas dengan roh dan semangat yang sama oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat. Justeru, badan Kehakiman perlu mengambil roh dan semangat yang sama ketika membuat intepretasi kepada undang-undang berkenaan.

 

"Sebagai seorang yang berlatar belakangkan undang-undang, saya menghormati doktrin pengasingan kuasa di antara Eksekutif, Legislatif, dan Kehakiman. Justeru, saya tidak mahu berlaku konflik di antara badan Eksekutif dan Kehakiman yang pernah terjadi seperti suatu ketika dahulu berulang semula," katanya ketika berucap merasmikan Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

 

 

pm

 

 

Perdana Menteri berkata, sebagai contoh, kerajaan telahpun melakukan perubahan dalam Parlimen apabila menubuhkan 16 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berbanding hanya lima sahaja sebelum ini.

 

Katanya, Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah dimansuhkan pada tahun 1993 untuk mengurus pentadbiran dan kewangan Parlimen akan diperkenalkan semula bagi memperkasakan peranan Parlimen.

 

Dalam pada itu, beliau telah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada, termasuk 147 undang-undang yang telah lapuk.

 

Beliau berkata, transformasi undang-undang itu perlu dilakukan segera kerana keadaan telahpun berubah dan undang-undang juga perlu bergerak dan berubah mengikut keadaan semasa. 

 

 

pm

 

 

"Penambahbaikan ini juga akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia. Sebagai contoh, teknologi digital hari ini semakin pesat membangun. 

 

"Dalam konteks ini, undang-undang yang sedia ada tidak relevan dengan ledakan teknologi digital, bahkan agak terkebelakang dengan perubahan semasa. Akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 misalnya, hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian," katanya.

 

Beliau berkata, kerajaan sudah pun melaksanakan beberapa langkah proaktif dalam memperkasa undang-undang di Malaysia, antaranya pemansuhan hukuman mati mandatori, Rang Undang-Undang (RUU) Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No 3) 2022 dan RUU Dana Sumbangan Politik.

 

Mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, Perdana Menteri berkata, ramai yang keliru mengenainya seolah-olah hukuman mati sudah dihapuskan.

 

"Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah itu dijatuhkan hukuman mati atau hukuman pilihan yang lain," katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang dijangka dibentang bulan depan, penting untuk menjamin kestabilan dan integriti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana tindakan lompat parti sebelum ini terbukti merencatkan proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia.

 

"Pada masa sama, usaha memantapkan integriti politik turut merangkumi aspek lain, termasuk pengawal seliaan dana sumbangan politik. Pengawal seliaan ini boleh meningkatkan ketelusan sumbangan politik di negara kita dan dapat mengurangkan risiko rasuah serta apa-apa penyalahgunaan kuasa yang berkaitan," katanya. 

 

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Yayasan Tan Sri Ahmad Ibrahim bagi menghargai sumbangan tokoh perundangan yang bukan hanya disegani dan diiktiraf di Malaysia bahkan juga di peringkat antarabangsa.

 

Beliau berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1 juta bagi tujuan penubuhan yayasan tersebut.

 

Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM500,000 sebagai dana permulaan Tabung Kebajikan Keluarga Malaysia bagi membantu proses pembelajaran para siswazah Fakulti Undang-Undang UM daripada keluarga B40 dengan lebih lancar, demi mencapai kejayaan akademik yang lebih cemerlang.

 

Tambahnya, ASEAN Legal Information Portal akan dikenali dengan nama baharu iaitu ASEAN Law Guide dan kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi merealisasikan tujuan itu. - DagangNews.com