REMBAU 19 Mei - Asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Sail di sini akan menerima peruntukan tambahan bagi kerja-kerja baik pulih asrama itu yang terbakar pada 31 Julai 2023, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, peruntukan sebelum ini yang diluluskan hampir RM3 juta dan dengan penambahan itu jumlah keseluruhan yang diluluskan adalah RM3.89 juta.
"…kelulusan peruntukan sebelum ini hampir RM3 juta namun melihat keadaan asrama, bumbungnya dan surau pastinya (peruntukan) tidak mencukupi. Kementerian Kewangan akan beri kelulusan khas agar kerja baik pulih dapat dipercepatkan.
"Kita lihat sekolah ini tidak daif tetapi dari segi prasarana tentunya sederhana, asrama itu (sedia ada) alami kesesakan, namun mereka (pelajar) masih mampu memberikan komitmen dan dedikasi untuk belajar,” kata beliau semasa berucap selepas melawat sekolah itu hari ini.
Terdahulu, Anwar turut meninjau keadaan pasca insiden kebakaran tingkat tiga asrama berkenaan.
Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan lain berjumlah RM310,000 untuk membaik pulih fasiliti seperti bilik guru dan surau sekolah tersebut.
Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Muhamad Hasan dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sementara itu, Anwar turut berkesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Dr Hj Mohammad Eusuff Teh Kariah Pedas Hilir, di sini.
Beliau yang tiba pada 1.20 tengah hari kemudiannya bersama jemaah mendengar khutbah bertajuk 'Guru Mendidik Generasi Berakhlak' sempena Hari Guru yang disambut pada 16 Mei lepas, lapor Bernama.
Sebelum pulang, Perdana Menteri turut meluangkan masa bersalam dan beramah mesra dengan jemaah. - DagangNews.com








