PM Anwar, Jokowi sepakat perkukuh hubungan dua hala | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar, Jokowi sepakat perkukuh hubungan dua hala

Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Joko Widodo, di veranda Istana Kepresidenan Bogor pada 9 Januari 2023 - Gambar BERNAMA

JAKARTA 9 Jan - Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Jokowi sepakat untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan menyelesaikan beberapa isu yang belum ditangani dan diselesaikan.

 

Ia merangkumi isu tenaga kerja Indonesia dan pendidikan anak mereka di Malaysia, penyelarasan pengambilan pekerja dan persempadanan, lapor Berita Harian.

 

Dalam pernyataan bersama dua pemimpin selepas pertemuan di Istana Bogor sebentar tadi, Perdana Menteri dan Jokowi juga sepakat pelbagai perbincangan yang belum diputuskan diselesaikan segera dan perjanjian ditandatangani tahun ini.

 

Anwar sendiri berkata, Malaysia tidak mahu isu berkaitan terus berpanjangan yang menjejaskan usaha dua negara untuk mencapai kesepakatan demi kepentingan rakyat dan kedua-dua negara.

 

Katanya, sudah banyak mesyuarat dan rundingan diadakan, namun masih banyak belum diselesaikan dan Malaysia berharap ia dapat diputuskan dengan perjanjian kerjasama.

 

Anwar telah memaklumkan kepada Jokowi Malaysia sentiasa menghargai sumbangan TKI dan PDI kepada pembangunan sosio-ekonomi Malaysia.

 

"Saya telah memberi jaminan kepada Presiden, bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia bagi memastikan pengambilan dan perlindungan PDI adalah berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

 

"Dicadangkan supaya kedua-dua negara segera memulakan rundingan bagi menyemak semula Memorandum Persefahaman Penggajian Tenaga Kerja Indonesia (MoU TKI 2004) yang agak 'outdated' pada tahun 2023 supaya ia selari dengan perubahan semasa dari segi dasar, undang-undang dan peraturan kedua-dua negara" katanya.

 

Kedua-dua pemimpin telah berbincang dan mengambil maklum berhubung kemajuan dalam rundingan pembatasan sempadan darat dan maritim di antara kedua-dua negara.

 

Justeru, Anwar dan Jokowi bersepakat agar rundingan ini dipergiatkan untuk mencari penyelesaian segera agar kedua-dua pihak dapat meneruskan agenda pembangunan di kawasan terbabit dan memelihara kedaulatan serta integriti wilayah masing-masing.

 

Mengenai kerjasama ekonomi, Anwar telah usulkan kepada Jokowi supaya pelabur Indonesia terus meningkatkan pelaburan di Malaysia dan mengalu-alukan penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) sektor swasta Malaysia dan Indonesia yang dimeterai ketika lawatan ini dengan jumlah projek dianggarkan bernilai RM1.16 bilion.

 

"Saya juga telah sampaikan minat mendalam Malaysia untuk turut serta dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara.

 

"Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dalam pembinaan Putrajaya dengan Indonesia. Saya percaya syarikat Malaysia mempunyai kepakaran bertaraf antarabangsa untuk bersama-sama membangunkan IKN Nusantara," katanya.

 

Perdana Menteri juga berkongsi kemajuan kerjasama dalam pembangunan berasaskan Tenaga Boleh Baharu yang mana Sarawak Energy Berhad sedang aktif dalam menbangunkan Mentarang Induk Hydroelectric Plant (MIHEP) dengan kerjasama syarikat Indonesia, PT Kayan Hydropower Nusantara.

 

"Saya difahamkan projek ini amat signifikan bagi menyokong Kawasan Perindustrian dan Pelabuhan Antarabangsa di Tanah Kuning, Kalimantan Timur," katanya. - DagangNews.com