PLUS peruntuk RM18 juta naik taraf tandas awam di 31 lokasi lebuh raya tahun ini | DagangNews Skip to main content

PLUS peruntuk RM18 juta naik taraf tandas awam di 31 lokasi lebuh raya tahun ini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Nov - PLUS Malaysia Bhd memperuntukkan kira-kira RM18 juta untuk kerja-kerja naik taraf tandas awam di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol terpilih sepanjang Lebuhraya PLUS. 

 

Antara kawasan yang terlibat untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas awam adalah di R&R Machap (Arah Utara), Gelang Patah (Kedua-dua Arah), Tapah (Kedua-dua Arah), Gurun (Arah Selatan) dan Pagoh (Arah Selatan), Restoran Jejantas Sungai Buloh.

 

Selain itu, ia termasuk Hentian Sebelah Senawang (Arah Selatan), Pedas Linggi (Kedua-dua Arah), Tangkak (Kedua-dua Arah), Bukit Gantang (Kedua-dua Arah), Tikam Batu (Arah Selatan), Alor Pongsu (Kedua-dua Arah), Behrang (Arah Selatan) dan Kampung Bemban (Arah Utara). 

 

Manakala bagi plaza tol, ia melibatkan Plaza Tol Tapah, Kajang, Jalan Duta, Simpang Ampat, Sungai Besi, Seafield, Kota Damansara, Bukit Raja, Setia Alam, USJ dan Putrajaya. 

 

PLUS berkata, kerja-kerja penambahbaikan tandas awam itu yang merangkumi 31 lokasi iaitu 7 kawasan R&R, 1 restoran jejantas, 12 hentian sebelah dan 11 plaza tol terpilih kini sedang giat dijalankan. 

 

"Kesemua kerja penambahbaikan tandas awam Lebuhraya PLUS dijangka akan siap sepenuhnya secara berperingkat bermula akhir tahun ini sehingga awal tahun hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan tersebut, di kawasan R&R terpilih, tandas awam ditambah baik dengan menambah bilangan tandas duduk dan dilengkapi dengan kubikel khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak, kubikel untuk keluarga, bilik menukar lampin bayi, kemudahan tempat mandi serta landskap untuk pengudaraan dan pencahayaan semula jadi.

 

 

plus

 

 

 

plus

 

 

plus

 

 

"Bagi memastikan keselesaan berterusan pengguna lebuh raya sepanjang tempoh kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan, pengguna lebuh raya boleh menggunakan kemudahan tandas sementara yang telah disediakan. 

 

"Sebagai alternatif, para pengguna juga boleh meneruskan perjalanan ke R&R dan hentian sebelah yang seterusnya untuk akses kepada tandas awam yang masih beroperasi seperti biasa," katanya.

 

 

plus

 

 

plus

 

 

Setakat hari ini katanya, kerja-kerja penambahbaikan tandas awam di 11 lokasi sepanjang Lebuhraya PLUS disiapkan lebih awal dan sudah boleh digunakan semua pengguna Lebuhraya PLUS.

 

Katanya, 11 lokasi tersebut adalah R&R Gelang Patah (Arah Utara), Hentian Sebelah Senawang (Arah Selatan), Pedas Linggi (Arah Utara), Tangkak (Arah Selatan), Tikam Batu (Arah Selatan), Alor Pongsu (Arah Utara) serta plaza tol di Jalan Duta, Tapah, Kajang, Bukit Raja dan Simpang Ampat.

 

 

plus

 

 

Tambah kenyataan itu, bagi meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya pada masa hadapan, PLUS merancang untuk melaksanakan projek naik taraf kawasan-kawasan rehat dan hentian sebelah dari semasa ke semasa. 

 

"Usaha ini adalah komitmen berterusan PLUS untuk menyediakan perkhidmatan dan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya," katanya. - DagangNews.com