KUALA LUMPUR 5 April - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri semikonduktor perlu meningkatkan daya saing dalam pasaran global dan menjadikan perniagaan mereka kalis masa depan setelah berdepan pelbagai cabaran akibat krisis pandemik COVID-19.
Presiden SEMI Asia Tenggara, Linda Tan berkata, Malaysia merupakan pemain utama dalam dagangan semikonduktor global dengan mencatat aliran masuk hampir 7% daripada perdagangan global.
Selain itu, katanya, ia merupakan sebahagian besar rantaian bekalan elektronik global dengan eksport elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak 39% daripada jumlah eksport Malaysia pada 2020.
"Secara dasarnya, PKS mewakili tonggak utama dalam ruang ini dan pertumbuhan mereka adalah penting untuk kejayaan negara dan rantau Asia Tenggara yang lebih luas.
"SEMI mengenalpasti kepentingan PKS dalam industri E&E dan komited untuk menyokong perniagaan ini bagi memastikan ekosistem semikonduktor di rantau ini kekal kukuh dan berdaya tahan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian dalam webinar baru-baru ini yang dianjurkan SEMI dan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) sempena penganjuran SEMICON Asia Tenggara 2022.
Pameran dan persidangan yang mengumpulkan pemain utama industri semikonduktor itu akan diadakan 21 hingga 23 Jun 2022 di Pusat Konvensyen & Arena Setia SPICE, Pulau Pinang.
Sementara itu, Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, MSIA telah mengambil langkah luar biasa untuk melindungi PKS yang terlibat dalam industri E&E sejak 2 tahun lalu.
"Webinar ini juga merupakan salah satu inisiatif yang kami lalukan untuk menyokong industri ini, lebih-lebih lagi memandangkan kepentingan kesalinghubungan ekosistem kami.
"Ia mendidik peserta tentang cara untuk berkembang ke peringkat antarabangsa dan kekal berdaya saing dalam pasaran global," katanya.
Ketika berucap dalam majlis perasmian, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada penggunaan teknologi termaju dalam kalangan PKS di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, membolehkan PKS mengalami perubahan, bersaing dan menembusi pasaran global.
"Oleh itu, PKS akan dilengkapi dengan kemahiran untuk mendigitalkan proses perniagaan mereka dengan automasi, data besar dan kecerdasan pintar (AI), selaras dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR) dan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia," jelasnya. -DagangNews.com








