KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pintaras Jaya Bhd telah memperoleh lapan kontrak cerucuk bernilai RM160 juta di Singapura.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Pintaras Jaya berkata kontrak berkenaan diterima melalui anak syarikatnya yang berpangkalan di Singapura, Pintary Foundations Pte Ltd.
Tempoh kontrak adalah antara tiga bulan hingga 12 bulan, bermula dari April hingga Disember 2023.
Kumpulan itu berkata kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatannya untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24).
Pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) baru-baru ini, Pintaras Jaya mencatatkan kenaikan keuntungan bersih lebih enam kali ganda kepada RM3.67 juta berbanding RM583,000 bagi tempoh sama tahun lalu, disumbang oleh keputusan lebih baik yang dicatatkan oleh pelaburan disebut harganya dan pendapatan faedah lebih tinggi.
Pendapatan kumpulan dalam suku berakhir 31 Mac 2023 itu bagaimanapun susut 12.6% kepada RM75.78 juta daripada RM86.7 juta sebelumnya disebabkan aktiviti pembinaan yang lebih rendah memandangkan beberapa projek hampir siap.
Saham Pintaras Jaya dibuka tinggi hari ini pada RM1.55, menokok 5 sen atau 3.3% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM257.1 juta. - DagangNews.com








