KUALA LUMPUR 5 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) serentak di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Enam negeri itu adalah Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan pekrara itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas suruhanjaya itu berhubung tarikh penting pilihan raya negeri.
Beliau berkata, hari penamaan calon jatuh pada 29 Julai membolehkan calon berkempen selama tiga minggu dan pengeluaran writ akan dilakukan pada Rabu.
Katanya, pengundian awal akan diadakan pada 8 Ogos, dengan permohonan dibuka pada 15 Jun dan kemudian ditutup pada 8 Julai untuk rakyat Malaysia yang menetap di luar negara, 11 Julai untuk agensi dan organisasi, dan 26 Julai untuk media, tentera, polis dan kakitangan pilihan raya.
Kesemua enam DUN baru-baru ini dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri, menjadikan sejumlah 245 kerusi DUN dipertandingkan ― 56 kerusi di Selangor, 45 di Kelantan, 40 di Pulau Pinang, 36 di Kedah dan Negeri Sembilan, dan 32 di Terengganu.
Menurut beliau, seramai 9,773,571 pemilih terlibat dalam PRN kali ini mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu.
"SPR telah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 bagi kesemua enam negeri daripada Speaker DUN masing-masing,” katanya. - DagangNews.com








