Tender projek ECRL-Pelabuhan Klang bernilai RM2 bilion kini dibuka untuk proses bidaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tender projek ECRL-Pelabuhan Klang bernilai RM2 bilion kini dibuka untuk proses bidaan

KUALA LUMPUR 20 Mei - Kerajaan dilaporkan melanjutkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi menghubungkan terus ke Westports serta Northport di Pelabuhan Klang dan tender projek itu dipercayai sudah dibuka untuk proses bidaan.

 

Sambungan yang dikenali sebagai `spur line' itu akan menghubungkan stesen Jalan Kastam ECRL ke Northport dan Westports, sepanjang 25km.

 

"Projek ini dianggarkan menelan belanja kira-kira RM2 bilion, termasuk pengambilan tanah. Jajaran laluan ini agak rumit dan akan merangkumi pembinaan jambatan serta kren gantri beroda rel, iaitu kren tugas berat yang digunakan untuk mengangkat dan mengalihkan kontena,” kata sumber.

 

 

 

Pembinaan spur line itu berkemungkinan dianugerahkan kepada China Communications Construction Company (CCCC), yang merupakan kontraktor utama bagi keseluruhan projek ECRL.

 

“Terdapat juga garis panduan yang menyatakan keutamaan akan diberikan kepada kontraktor bumiputera yang berkelayakan dan berpengalaman dalam industri rel. 

 

"Namun, ia tidak bermakna kontraktor bukan bumiputera tidak boleh menyertai tender projek ini,” kata sumber itu.

 

peta

 

Difahamkan YTL Construction Sdn Bhd berminat untuk membida projek itu. YTL Construction dan SIPP Rail Sdn Bhd kini sedang melaksanakan projek landasan berkembar elektrik sepanjang 192km dari Gemas ke Johor Bahru.

 

“[Spur line] ini adalah untuk pergerakan kargo secara langsung dari ECRL ke pelabuhan,” kata satu lagi sumber, sambil menjelaskan pada masa ini, satu-satunya sambungan dari stesen Jalan Kastam ke Pelabuhan Klang adalah melalui laluan sedia ada Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan jalan darat.

 

Pada 17 Februari 2025, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan Malaysia Rail Link Sdn Bhd untuk mengubah skop projek ECRL daripada sistem satu landasan berkembar kepada dua landasan bagi segmen Port Klang.

 

Perubahan itu melibatkan jajaran Seksyen D ECRL sepanjang 25km, dari Jalan Kastam di Pelabuhan Klang ke Northport dan Westports. 

 

Loke menyatakan, sambungan itu yang akan meningkatkan kapasiti kargo rel dan kecekapan pengangkutan, tidak memerlukan pembiayaan tambahan daripada kerajaan atau meningkatkan kos keseluruhan pembangunan projek ECRL daripada apa yang telah dipersetujui pada 2017.

 

Projek ECRL sepanjang 665km merentasi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

 

ECRL dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka siap mengikut jadual pada Disember 2026, manakala spur line dijangka siap pada Disember 2027.

 

Pada 6 Mei 2025, Loke memaklumkan, projek ECRL telah siap sebanyak 82.45% setakat April, iaitu kira-kira dua setengah bulan lebih awal daripada jadual, dengan 400km landasan di sepanjang jajaran utama dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan telah siap. 

 

Fasa pemasangan landasan seterusnya, iaitu jajaran sepanjang 100km dari Maran ke Bentong, dijangka siap menjelang akhir Jun.

 

Beliau berkata, kerja-kerja elektrifikasi telah bermula pada Mei 2024 dan akan disusuli dengan pemasangan sistem isyarat, telekomunikasi dan maklumat sebagai persiapan ke arah fasa operasi ECRL.- DagangNews.com