KUALA LUMPUR 13 Ogos – Thong Guan Industries Bhd mengumumkan bahawa Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif syarikat itu berkuat kuasa 25 Ogos ini.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Thong Guan menyatakan langkah Tengku Sarafudin untuk berundur dibuat selepas tamat tempoh sembilan tahun beliau berkhidmat dalam lembaga pengarah syarikat pembungkusan plastik itu.
Laporan tahunan 2024 syarikat tersebut menunjukkan, adalah menjadi amalan lembaga pengarah bahawa pengarah bebas bukan eksekutif hanya berkhidmat sehingga maksimum sembilan tahun.
Tengku Sarafudin telah dilantik sebagai pengerusi Thong Guan pada 25 Ogos 2016.

Pemegang saham tunggal terbesar Thong Guan ialah Foremost Equals Sdn Bhd dengan pegangan 37.06 peratus.
Foremost Equals merupakan syarikat pegangan keluarga Ang, terdiri daripada Pengarah Urusan Datuk Ang Poon Chuan, Pengarah Eksekutif Ang Poon Seong dan Pengarah Eksekutif Datuk Ang Poon Khim.
Pada Selasa, saham Thong Guan ditutup dua sen atau 1.75 peratus lebih rendah kepada RM1.12, menjadikan nilai pasaran syarikat sebanyak RM452.98 juta. - DagangNews.com








